Ahli-ahli Jawatankuasa Kariah terima saguhati tanda penghargaan

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BERTAM – Sebagai menghargai peranan Jawatankuasa Kariah di seluruh negeri, Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menganjurkan Majlis Pembayaran Saguhati Jawatankuasa Kariah 2016 di sini baru-baru ini.

Penyerahan saguhati yang disempurnakan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Mohd. Salleh Man itu bertujuan memberi satu semangat dan inspirasi kepada mereka yang berkaitan.

Dalam ucapannya, Mohd. Salleh memberitahu, sebanyak RM402,800 diperuntukan daripada dana zakat untuk sumbangan kepada 807 penerima.

“Seramai empat penerima iaitu pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari daripada setiap 203 kariah menerima saguhati ini.

“Pemberian ini adalah bertujuan untuk menghargai peranan penting yang dipikul pihak-pihak berkaitan terutamanya dalam
mengurus dan mentadbir kariah masing-masing,” katanya pada majlis berkaitan.

Pengurus Besar ZPP, Azman Abdul Somat dan Ahli Lembaga Pengarah ZPP, Datuk Mustafa Kamal turut sama hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Salleh menyatakan bahawa majlis pemberian saguhati berkenaan adalah hasil sokongan dan kepercayaan semakin ramai pembayar zakat di negeri ini.

“Dengan bertambahnya kepercayaan yang diberikan, tentunya semakin bertambah jugalah usaha untuk menyampaikan zakat kepada yang berhak dan memerlukan.

“Kutipan zakat tahunan yang sentiasa bertambah telah membolehkan ZPP meluaskan lagi manfaat zakat kepada asnaf dengan nilai bantuan yang semakin tinggi berbanding tahuntahun sebelumnya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh turut menyarankan agar setiap A h l i Jawatankuasa Kariah yang hadir untuk turut menjadi mata dan telinga ZPP dalam usaha meningkatkan kutipan dan agihan zakat.