Ahli Majlis sumbang alat AED demi keselamatan pengunjung Kompleks Sukan MPSP

Admin

BERAPIT – Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Tan Cheong Heng menyumbang satu set peralatan Automated External Defibrillator (AED) berharga RM8,800 untuk kegunaan pengunjung di Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP dekat Jalan Betek, di sini.

Beliau berkata, peralatan tersebut penting bagi memberi bantuan awal kepada mangsa yang terkena serangan jantung.

“Alat AED ini akan diletakkan di tempat awam iaitu di hadapan kaunter kutipan kolam renang untuk kegunaan orang awam dan kakitangan MPSP sekiranya berlaku kecemasan.

Tan Cheong Heng semasa mengadakan sidang media dekat Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP, Jalan Betek sebentar tadi.

“Saya bersetuju menyumbang alatan ini selepas mengambil kira beberapa kes kematian yang berlaku di kompleks ini akibat serangan jantung.

“Selepas adanya alat ini…jika terdapat pengunjung yang diserang sakit jantung dapat dibantu dengan cepat sebelum menunggu bantuan daripada pihak keselamatan,” katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, wakil Syarikat Safetyware EHS Consultancy Sdn. Bhd. yang merupakan pembekal kepada peralatan tersebut.

Difahamkan, sebanyak tiga kes kematian sejak tahun 2016 dekat Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP yang mana dua daripada mangsa yang meninggal dunia adalah berpunca daripada serangan jantung.

Pada sidang media sama, jurulatih daripada syarikat pembekal alat AED membuat demonstrasi dan tunjuk ajar berkaitan tatacara penggunaan alatan tersebut kepada pasukan penyelamat kelemasan MPSP sekiranya berlaku kecemasan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD