Pemilik tanah lokasi pembuangan sampah haram di Bukit Teh bakal didakwa tidak lama lagi – YDP MPSP

Admin

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memaklumkan bahawa pemilik tanah yang menjadi lokasi pembuangan sisa pepejal secara haram dekat Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh bakal dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

Jelasnya, maklumat berkaitan pemilik tanah yang diperoleh kini di peringkat analisis terakhir sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak Pendakwa Raya bagi memperoleh keizinan untuk mendakwa.

“Selepas dapat izin dakwa barulah kes akan difailkan di mahkamah terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerana proses penghakiman bagi kes-kes yang dibawa oleh MPSP selain kes sivil memerlukan izin dakwa daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Ia merupakan satu prosedur biasa yang mana bukan sahaja MPSP tetapi melibatkan semua agensi kerajaan yang membawa kes ke mahkamah di bawah kesalahan-kesalahan pembandaran mesti mendapatkan izin dakwa,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Menyuarat Majlis Biasa dekat Ibu Pejabat MPSP, di sini semalam.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kawasan berdekatan ladang kelapa sawit di Bukit Teh dijadikan pusat pembuangan sisa pepejal haram.

Longgokan pelbagai jenis bahan buangan tersebut mengakibatkan bau busuk serta pencemaran udara di persekitaran kawasan terbabit sehingga mengundang keresahan masyarakat sekitar.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon semasa melakukan tinjauan ke kawasan itu pada Mac lalu menemukan ratusan longgokan sisa pepejal berbau busuk dan berdebu dikhuatiri sisa bahan kimia berbahaya.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, selain pemilik tanah, MPSP juga sedang menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab melakukan pembuangan sampah secara haram di lokasi terbabit.

“Pemilik tanah bertanggungjawab menjaga tanah-tanah milik mereka.

“Walau bagaimanapun MPSP juga akan membuat siasatan untuk dapatkan maklumat siapa yang membuang sampah dan sekiranya ada maklumat kita juga akan dakwa kerana mereka inilah punca sebenar kepada masalah ini,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : EDMUND LEE