Ahli Parlimen, ADUN salur peruntukan urai masalah kesesakan lalu lintas

Admin

BERAPIT – Masalah kesesakan lalu lintas di hadapan Hospital Bukit Mertajam yang dilihat berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya mendapat perhatian wakil rakyat setempat.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, kesesakan lalu lintas berlaku selepas Klinik Metadon mula beroperasi di bangunan asrama lama Hospital Bukit Mertajam iaitu bersebelahan dengan sebuah tadika.

Laluan baru yang akan dibuka untuk pengguna Klinik Metadon.

“Kita menerima aduan daripada pihak Tadika Methodist Bukit Mertajam yang beroperasi di sebelah Klinik Metadon kerana hanya ada satu sahaja laluan masuk ke tadika iaitu di tepi klinik.

“Oleh itu, apabila pelanggan Klinik Metadon datang pada waktu pagi menyebabkan jalan mengalami kesesakan ekoran kenderaan mereka yang diparkirkan di kiri dan kanan jalan sehingga menyukarkan pergerakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke tadika berkenaan,” jelasnya pada sidang media di sini, 14 Disember lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee serta Pengarah Hospital Bukit Mertajam, Dr. Nur Aslina Bahakodin.

Justeru, katanya, sebanyak RM5,700 diperuntukkan bagi tujuan membuka laluan masuk baru dari Jalan Kulim ke Klinik Metadon bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkaitan terutama dekat laluan masuk ke tadika seperti yang dipersetujui pihak hospital.

“Selepas ini pelanggan klinik hanya akan menggunakan pintu baru bagi melancarkan pergerakan lalu lintas di sini,” ujarnya sambil menambah bahawa beliau juga turut menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Kelab Kebajikan dan Sukan Hospital Bukit Mertajam sebagai menyokong program-program sukan kelab berkenaan.

Dalam pada itu, Lee Lee pula menjelaskan bahawa bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, sebanyak RM19,000 telah disumbangkan melalui Pusat Khidmat ADUN Berapit untuk menaik taraf jalan bersebelahan Klinik Metadon yang telahpun siap sepenuhnya baru-baru ini.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF