Akademi tenis, serlah potensi bakat muda

Admin

BATU UBAN – Penganjuran sulung ‘Junior Tennis Program 2018’ pada 15 Disember lalu, berjaya menarik penyertaan 50 kanak-kanak berusia antara 6 hingga 14 tahun.

Dianjurkan oleh Pro Ace Tennis Academy (PATA) dan Jaya Catering & Restaurant Sdn. Bhd. tampil selaku penaja utama program yang diadakan di gelanggang tenis dekat Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban itu.

Pada sesi sidang media, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, penganjuran ‘Junior Tennis Program 2018’ penting bagi mencungkil bakat-bakat muda sebagai pemain tenis pelapis negara pada masa hadapan.

“Saya sangat teruja, kerana penganjuran program ini memberi makna buat diri saya yang juga merupakan salah seorang pemain tenis ketika muda dahulu bagi mengisi masa lapang.

“Sukan ini bukan sahaja mengajar kita erti disiplin tetapi juga nilai etika yang boleh diterapkan dalam semua aspek kehidupan.

“(Dan) saya percaya program ini juga mampu mencungkil minat serta menyerlahkan bakat-bakat muda yang terpendam, siapa tahu, suatu hari nanti, ada dalam kalangan peserta hari ini menjadi pemain tenis tersohor di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika ditemui media sejurus merasmikan program berkaitan di sini.

RAMKARPAL Singh (depan) beramah mesra dengan para peserta Junior Tennis Program 2018 dekat Kompleks Sukan Batu Uban baru-baru ini.

Turut sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, K. Manimaran ketika ditemui berkata, penganjuran ‘Junior Tennis Program 2018’ merupakan program awal bagi memulakan program latihan selama enam bulan.

“Program latihan sebenar Akademi Tenis ini akan dimulakan sekitar bulan Mac tahun hadapan dan saya percaya melalui program ini bakat muda baru dapat digilap,” katanya.

Menariknya, penganjuran ‘Junior Tennis Program 2018’ ini turut mendapat sokongan pemain tenis remaja, M. Bharthie, 16, yang baru memenangi PLTA Penang State Closed Tennis Championship, September lalu.

RAMKARPAL Singh (tengah, memegang raket) turut sama bermain tenis sebagai simbolik perasmian.

 

 

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI