Pendidikan sempurna bentuk masa depan cemerlang

PULAU BETONG – Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik menyumbang sejumlah RM67,691 daripada peruntukan tahunannya (bagi tahun 2021)bagi memperkasakan bidang pendidikan membabitkan kawasan Parlimen diwakilinya.

Menurut beliau, hanya melalui pendidikan yang sempurna mampu mengubah nasib para pelajar ke arah masa hadapanyang cemerlang.

“Di Balik Pulau, banyak peruntukan disalurkan untuk bidang pendidikan terutamanya melibatkan kemudahan-kemudahan di sekolah serta bantuan pembelajaran kepada pelajar.

“Tahun lepas, pejabat saya mengenal pasti pelajar-pelajar kurang mampu dan seterusnya menyumbangkan sumbangan berupa tablet dan komputer riba bagi memudahkan pembelajaran dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kita tidak mahu ada alasan barisan pelajar ini ketinggalan..justeru, kita mahu sediakan peluang pendidikan yang sama rata untuk mereka menimba ilmu dalam apa juga keadaan,” ujarnya pada Majlis Penyampaian dan Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina di sini 23 Januari lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Tan Chiew Choon.

Antara sumbangan yang disalurkan sepanjang tahun 2021 adalah komputer riba dan tablet, tajaan mengikuti program Pendidikan Akademi Bakhtiar serta kelas tambahan percuma termasuk kemudahan infrastruktur.

Pada majlis tersebut, Muhammad Bakhtiar turut menyampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah, rumah ibadat dan sumbangan hamper kepada golongan yang memerlukan.

Mengulas lanjut, beliau dalam pada itu turut menzahirkan kekesalan terhadap tindakan ‘pihak atasan’ sekolah yang menolak kehadirannya ke sekolah-sekolah bagi meninjau projek-projek naik taraf yang dilaksanakan menerusi peruntukan disalurkan.

“Memandangkan projek-projek yang disiapkan ini menggunakan peruntukan Pejabat Ahli Parlimen Balik Pulau, sudah pastinya saya mahu melihat (projek)… itu pun tidak dibenarkan, sebaliknya saya hanya dibenarkan melihat dari luar pagar sahaja.

“Saya masuk untuk melawat projek, bukan untuk ucapan politik dan sebagainya,” tegasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN