‘Stadium Batu Kawan’ kembali dibuka kepada orang awam mulai 1 Februari

Admin
SOON Lip Chee (depan, tengah) bersama-sama pemimpin negeri lain meninjau keadaan fizikal balapan olahraga yang siap dinaik taraf di Stadium Negeri Pulau Pinang, Baru Kawan pada pagi ini.

BUKIT TAMBUN – Mulai 1 Februari ini, balapan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan kembali dibuka kepada orang awam untuk aktiviti rekreasi setelah kira-kira lapan bulan ditutup bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Mengumumkan perkara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM5,279,725 bagi menyelenggara fasiliti sukan di stadium ini melalui Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.

Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaran serta penarafan fasiliti yang telah siap di stadium ini termasuk trek balapan, lampu limpah dan pendingin udara.

“Jarang kita dengar stadium yang baru siap diselenggara dan dilengkapi dengan kemudahan baharu akan dibuka kepada orang awam.

“Tetapi, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Februari balapan di Stadium Negeri Pulau Pinang ini akan kembali dibuka kepada orang awam untuk menjalani aktiviti rekreasi, seperti sebelum ini demi merealisasikan misi ‘Sukan Untuk Semua’ sebagaimana dihasratkan di bawah Visi Penang2030,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat tapak projek penarafan balapan di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini pada 24 Januari 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut memberitahu bahawa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinanh (MSNPP) turut menugaskan seorang jurulatih sepenuh masa, N. Shanmugananthan bagi memberi nasihat profesional kepada orang awam yang berminat menjalani latihan olahraga di balapan stadium negeri ini.

Difahamkan, Shanmugananthan merupakan bekas atlet yang memecahkan rekod kebangsaan dalam acara larian 3,000 meter (m) berhalangan dalam Sukan Komanwel pada 17 September 1998 di Kuala Lumpur.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua berkata bahawa pihaknya juga akan menyusun semula jadual latihan para atlet untuk memaksimumkan penggunaan segala kemudahan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

“Balapan stadium ini dibuka secara percuma mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan tiap-tiap hari kepada orang awam dalam dua sesi masa iaitu 7.00 pagi hingga 9.00 pagi dan 5.00 petang hingga 7.00 malam.

“Orang awam lazimnya tidak menggunakan keseluruhan ruang balapan yang telah sedia dinaik taraf, mungkin satu atau dua lorong sahaja untuk rekreasi dan larian mereka,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR