Ahli Parlimen belanja RM1,084, 200 Peruntukan Mesra Rakyat tambah baik sektor berkaitan pendidikan

BATU UBAN – Sejumlah 54 peratus Peruntukan Mesra Rakyat (PMR) atau RM1,084,200 daripada RM2juta digunakan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin untuk menambah baik sektor berkaitan pendidikan.

 

Dari jumlah tersebut, RM400,000 disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong bagi pembinaan sebuah dewan baharu.

 

“Selain SMK Sungai Nibong, sekolah-sekolah lain turut mendapat nikmat peruntukan daripada Parlimen Bayan Baru untuk projek naik taraf infra merangkumi naik taraf tandas, pagar dan sebagainya berjumlah RM225,963.

 

“Saya percaya bahawa suasana persekitaran sekolah yang kondusif membolehkan pelajar menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap peajaran.

 

“Bagi SMK Sungai Nibong saya amat terkesan pada lawatan saya tahun lepas di mana saya tengok pelajar sesi petang terpaksa menunggu dalam keadaan panas semasa menunggu sesi pagi keluar jadi saya ambil keputusan untuk membina sebuah dewan baharu di sini,” ujar beliau semasa membuat lawatan tapak di sekolah berkenaan baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, Tze Tzin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu pihaknya turut membelanjakan RM42,820 kepada 450 orang pelajar di kawasan Bayan Baru untuk mengikuti Program Kembara Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ,RM78,100 bagi Smart Classrom STEM.

 

“Parlimen Bayan Baru juga telah membelanjakan sebanyak RM189,932 untuk membekalkan kemudahan ICT ke sekolah-sekolah dan perpustakaan awam Bayan Baru.

 

“Selain itu PMR turut dibelanjakan untuk membeli sistem siar raya, kerusi plastik, meja, kipas, penghawa dingin ke sekolah-sekolah sekitar Bayan Baru,” ujarnya lagi.

Pada lawatan tersebut, Tze Tzin juga menyampaikan peruntukan RM67,330 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI