Datuk Bandar rakam kejayaan MBSP gondol dua anugerah inovasi

Admin

 

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) muncul sebagai johan pertandingan ‘Innovation Blast’ yang bertajuk ‘Pathole Report And Repair Rangers Via Crowdsourcing’ (CPS) dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 pada 12 November lalu.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan membawa pulang wang tunai RM200 serta sijil dalam program anjuran Bahagian Komunikasi Korporat dan Inovasi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Azhar Haji Arshad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

“Ini, kejayaan MBSP sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019,” jelasnya dalam Mesyuarat Penuh Majlis Ke-545 (Bil. 11/2019) di Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda di sini pada 26 November 2019.

Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmud; barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan Ketua-ketua Jabatan dalaman PBT berkenaan turut menyertai mesyuarat bulanan majlis tersebut.

Turut serta di bangku pemerhati, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustapha Kamal Ahmad; dan seorang pegawai khas kepada Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Di samping itu, Rozali turut merakamkan kejayaan MBSP muncul sebagai naib juara untuk Kategori Bukan ICT dalam Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang (AIKNPP).

“MBSP telah menjadi naib johan untuk Kategori Bukan ICT bertajuk ‘Vehicle Optimizing Matrix-Decision Modelling’ dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, trofi dan sijil,” jelasnya.

Dalam mesyuarat penuh sama, Rozali turut mengumumkan Anis Shazreen Azmi dilantik sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa berkuatkuasa 1 November 2019.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NORAZIS