Ahli Parlimen peruntuk lebih RM60,000 naik taraf dua projek di kawasan Bukit Gelugor

AIR ITAM – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh memperuntukkan sejumlah RM32,000 bagi menaiktaraf kemudahan di Balai Polis Bandar Bharu, Lebuhraya Thean Teik di sini.

Ramkarpal berkata, peruntukan tersebut adalah bagi membaik pulih kemudahan tandas, penebangan dan pemangkasan pokok, menurap simen, memasang awning serta membaik pulih sistem pendawaian elektrik di balai berkenaan.

“Kerja-kerja naik taraf telah dimulakan pada 31 Julai lalu dan siap dalam tempoh enam minggu kemudian,” ujarnya ketika hadir ke balai berkenaan di sini pagi ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Di lokasi berasingan sebelumnya, Ramkarpal turut meluangkan masa meninjau kerja naik taraf tangga berhampiran Surau Bukit Gelugor dekat Jalan Khemah.

Menurut Ramkarpal, pihaknya sebelum ini menerima rungutan daripada penduduk sekitar berhubung keadaan kawasan tangga berkenaan yang curam dan rosak, selain daripada menjadi kawasan lepak pelajar yang ponteng sekolah.

“Kawasan tangga ini dulunya penuh dengan pokok, rosak dan agak tersembunyi hingga menjadi kawasan lepak budak sekolah, tetapi kini ia telah dinaik taraf dan lebih terbuka, ini dapat menghindarkan ia menjadi kawasan tidak sihat.

“Penduduk juga tidak perlu lagi menggunakan jalan jauh untuk ke surau,” ujarnya kepada pemberita.

Untuk tujuan berkenaan, beliau memperuntukkan sejumlah RM28,470.

Kedua-dua kos projek naik taraf berkenaan yang mencecah lebih RM60,000 ditanggung sepenuhnya di bawah peruntukan Parlimen Bukit Gelugor.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : PEJABAT PARLIMEN