Ahli Parlimen peruntuk RM70,855 naik taraf jalan Blok 1 Taman Air Itam

img 5505

AIR PUTIH – Penduduk di Blok 1, Taman Air Itam kini dapat menikmati kemudahan jalan dan kawasan parkir yang lebih selesa menerusi pelaksanaan projek naik taraf bernilai RM70,855.41 di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Bukit Bendera.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, peruntukan berkenaan digunakan bagi kerja-kerja penurapan semula jalan di sekitar kawasan pangsapuri Blok 1 selain mengecat serta melukis semula garisan petak tempat letak kereta.

img 5506

“Kerja-kerja tersebut telah bermula pada 20 April dan disiapkan pada 15 Jun lalu, melibatkan tempoh kira-kira lapan minggu.

“Sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera, memang kita mahu memastikan peruntukan Projek Mesra Rakyat ini disalurkan semula kepada komuniti untuk manfaat penduduk.

“Paling penting, kita mahu komuniti di sini dapat hidup dengan lebih selesa dan selamat,” ujarnya kepada Buletin Mutiara dalam satu sidang media selepas meninjau projek berkenaan di sini pagi tadi.

Tambah beliau, projek tersebut turut melibatkan kerja-kerja mengecat semula garisan bagi 35 petak tempat letak kereta di kawasan berkenaan.

img 5510 img 5513

Jelasnya, pejabat Parlimen Bukit Bendera akan terus meneliti keperluan komuniti setempat bagi mengenal pasti kemudahan lain yang boleh ditambah baik menerusi peruntukan yang bersesuaian.

Sementara itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid berkata, penduduk amat menghargai sumbangan yang disalurkan bagi menaik taraf kemudahan di kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini sangat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Bangunan ini sudah berusia kira-kira 40 tahun dan ini merupakan antara usaha yang amat bermakna kepada penduduk kerana kemudahan jalan serta kawasan sekitarnya dapat ditambah baik.

“Penduduk juga akan meneliti beberapa permintaan lain, termasuk cadangan kerja-kerja mengecat semula kawasan bangunan.

“Kita akan teliti sama ada kita boleh bantu untuk mengecat semula dan sebagainya kerana masih banyak lagi perkara yang boleh kita bantu untuk komuniti di setiap blok,” katanya.l