PULAU BETONG – Peranan fisioterapi bukan sekadar membantu pesakit mendapatkan semula pergerakan selepas mengalami strok atau penyakit kardiovaskular, malah penting dalam usaha pencegahan menerusi amalan gaya hidup aktif.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, fasa rehabilitasi merupakan antara aspek penting dalam proses pemulihan pesakit bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti.
“Sering kali fokus masyarakat hanya tertumpu kepada rawatan kecemasan atau pembedahan di hospital, namun kita lupa bahawa fasa paling kritikal untuk mengembalikan kualiti hidup pesakit ialah fasa rehabilitasi atau pemulihan.
“Di sinilah peranan ahli fisioterapi menjadi sangat penting sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan awam dan perubatan kita,” katanya ketika berucap pada Karnival Kesihatan Sempena Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Rozani Mat Shah; Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr. Nurul Azwa Mohd. Ismail; Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Primer, Cawangan Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr. Kang Chia Yee serta Ketua Bidang Perkhidmatan Fisioterapi Negeri Pulau Pinang, Muhammad Hizami Mustafa.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata, bagi pesakit strok, ahli fisioterapi membantu mereka mempelajari semula pergerakan asas secara berperingkat, termasuk menggerakkan jari, bangun dan duduk serta berjalan semula dengan yakin.
“Manakala bagi penyakit kardiovaskular, program rehabilitasi jantung yang dipandu ahli fisioterapi dapat membantu meningkatkan stamina serta mengurangkan risiko serangan berulang,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Zi Sen berkata kepakaran ahli fisioterapi dalam preskripsi senaman yang selamat turut memainkan peranan penting dalam usaha mencegah penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes yang menjadi antara faktor risiko kepada penyakit jantung.
“Pemilihan tema sambutan tahun ini, ‘Jaga Jantung dan Cegah Strok’, amat bertepatan dengan keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan dan pemulihan.
“Penyakit kardiovaskular dan strok kekal menjadi antara punca utama kematian dan hilang upaya fizikal, manakala di Pulau Pinang, peralihan status negeri ke arah negeri menua menjadikan keperluan menangani penyakit kronik ini semakin penting.
“Serangan jantung dan strok bukan sahaja meragut nyawa, malah boleh mengubah kehidupan pesakit serta keluarga mereka dalam sekelip mata akibat implikasi hilang upaya kekal,” tambahnya.
Sehubungan itu, Zi Sen menyeru warga Pulau Pinang agar memanfaatkan program kesihatan seperti Fisio Day untuk mendapatkan pemeriksaan, konsultasi fizikal serta mempelajari kaedah senaman yang betul.
“Jangan anggap fisioterapi hanya untuk golongan tertentu atau sekadar urutan biasa. Pergerakan adalah ubat yang terbaik untuk kesihatan optimum.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkasakan fasiliti kesihatan primer dan perkhidmatan rehabilitasi di seluruh daerah selaras dengan visi Penang2030 dalam membangunkan keluarga yang sihat dan komuniti yang sejahtera,” serunya.

Serentak majlis sama, karnival berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti kesihatan dan komuniti untuk pengunjung, antaranya kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta pertandingan mewarna.
Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti interaktif dengan mengumpul cop daripada setiap reruai pameran yang disediakan sebelum menebus hadiah yang ditawarkan.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT