Ahli Parlimen sampai bantuan peruntukan naik taraf keperluan tiga sekolah

Admin
MOHD. Salim Mohd. Yusoof (empat dari kanan) turut menyampaikan buah tangan kepada Ramkarpal Singh sejurus majlis penyampaian cek pagi tadi.

AIR ITAM – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pagi ini meluangkan masa menziarahi tiga buah sekolah sekitar Air Itam bagi menyampaikan sumbangan cek untuk pelbagai keperluan sekolah-sekolah berkaitan.

Tiga sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lancang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Min.

Di SMT Tunku Abdul Rahman Putra, Ramkarpal menyerahkan sumbangan cek bernilai RM10,000 bagi menaik taraf lantai beberapa bilik darjah yang rosak. Manakala, SK Batu Lancang menerima RM12,500 bagi pembelian kerusi plastik baharu.

Hadir sama, Pengetua bagi SMT Tunku Abdul Rahman Putra, Mohd. Salim Mohd. Yusoof dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Batu Lancang, PD. Saravanan dan Guru Besar SK Batu Lancang, Fazlee Yahya.

Difahamkan sejumlah RM7,650 turut diberikan kepada SJKC Kong Min untuk pembelian 300 kerusi plastik.

“Saya berharap sumbangan hari ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan pihak sekolah dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada para pelajar.

“Sekiranya (sekolah) memerlukan apa-apa bantuan selepas ini, kita alu-alukan mereka untuk membuat permohonan terus kepada saya ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam (Joseph Ng Soon Siang),” maklum beliau.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI