Ahmad Fuzi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-8

Admin

GEORGE TOWN – Tan Sri Dato’ Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan menggantikan Tun Dato’ Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas.

 

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sidang media yang diadakan di Komtar, petang ini.

 

Menurut Kon Yeow, beliau telah menerima sepucuk warkah pemakluman pelantikan daripada Yang Di-Pertuan Agong pada 8 April 2021.

 

“Baginda bertitah perkenan bahawa Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan,” ujarnya di sini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi akan diadakan pada 30 April 2021 di Istana Negara.

 

“Manakala istiadat Angkat Sumpah Jawatan akan berlangsung pada 1 Mei 2021 di Dewan Sri Pinang.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguruskan segala upacara dan istiadat pelantikan sebaik mungkin mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“(Dan) mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengalu-alukan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan.

 

“Sesungguhnya segala jasa dan amanat yang diberikan oleh Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas kepada saya dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan senantiasa menjadi pedoman serta panduan dalam usaha untuk terus meletakkan kecemerlangan negeri Pulau Pinang di persada dunia,” zahirnya.

 

Sebagai rekod, Ahmad Fuzi merupakan mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri setelah berkhidmat di kementerian tersebut sejak 1972.

 

Kini, anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah Ketua Setiausaha World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) serta menjawat beberapa jawatan lain di pelbagai organisasi dalam dan luar negara.

 

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Pegawai Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi mengunjungi kediaman rasmi Abdul Rahman di Seri Mutiara pada 12:30 tengah hari, hari ini, bagi memaklumkan mengenai warkah yang diterima.

 

Abdul Rahman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 2001. Beliau dilantik semula ke jawatan sama pada tahun 2005, 2009, 2011, 2013, 2015 dan 2017.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING