AI Horizon 2026: Sasar terajui industri adaptasi AI

Admin
35492355 eba9 427d 8ce7 f07643c94b46

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) menerusi penganjuran AI Horizon 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 7 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC).

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif tersebut bertujuan mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian AI merentas sektor utama, sekali gus meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju serantau dalam industri adaptasi AI.

Menurut beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, sebagai persediaan awal, satu Sesi Dialog Kepimpinan telah diadakan hari ini bagi mengumpul maklum balas daripada pemain industri berhubung keperluan sebenar, cabaran serta peluang pelaksanaan AI dalam persekitaran pembuatan dan rantaian bekalan.

“Kerajaan Negeri ingin memastikan pembangunan AI di negeri ini bersifat dipacu industri, praktikal dan selaras dengan keperluan operasi yang dihadapi oleh syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Input daripada pemimpin industri amat penting bagi merangka inisiatif berimpak tinggi, program pembangunan bakat serta penyelarasan dasar menjelang tahun 2026,” katanya kepada pemberita di Komtar, hari ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa Pejabat Timbalan Ketua Menteri II akan mengetuai pelaksanaan serta penyelarasan AI Horizon 2026, dengan sokongan padu daripada agensi negeri dan persekutuan.

Beliau turut memberitahu bahawa antara rakan strategik utama yang terlibat termasuk Tech Dome Penang, HRD Corp (HRDC), Penang STEM serta rakan strategik daripada institusi akademik dan pemain industri lain.

Ditanya mengenai fokus utama edisi 2026, Jagdeep menjelaskan bahawa penekanan akan diberikan kepada pemadanan industri dan kerjasama strategik, dengan AI Horizon 2026 digarap sebagai platform untuk menghimpunkan penyedia teknologi antarabangsa, syarikat pemula tempatan (startup) dan MNC bagi mempercepat pemindahan teknologi serta menggalakkan inovasi bersama.

“Melalui penggabungan kepakaran global dengan keupayaan tempatan, Pulau Pinang bersedia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penyelesaian industri berpacukan AI dan pertumbuhan pembuatan pintar yang mampan,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sehubungan itu, Jagdeep berkata bahawa Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan berterusan daripada pemimpin industri bagi memastikan pembangunan AI di Pulau Pinang kekal relevan serta memberi impak positif kepada komuniti industri secara menyeluruh.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN