BERTAM – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUK) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara terus memperkukuh agenda transformasi perkhidmatan awam menerusi penerimagunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran Pertandingan Projek Transformasi Perkhidmatan Awam Melalui Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 22 dan 23 Julai lalu di sini.
Menurut kenyataan media oleh MPC, pertandingan berkenaan menjadi platform kepada agensi dan jabatan negeri untuk mengetengahkan penyelesaian berasaskan AI yang berpotensi meningkatkan kecekapan, produktiviti serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Difahamkan, sebanyak 14 agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil bahagian dengan mempertandingkan 19 projek transformasi berasaskan AI.
Antara bidang tumpuan projek yang diketengahkan adalah pembangunan chatbot berasaskan AI, analitik ramalan, automasi proses kerja, aplikasi pemantauan pintar, pengurusan data serta pelbagai penyelesaian digital lain bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Agensi dan jabatan yang terlibat termasuklah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Pengarah MPC Wilayah Utara, Mohamad Azrol Mohamad Dali berkata, penerimagunaan teknologi AI bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memastikan sektor awam kekal relevan, tangkas dan responsif dalam menghadapi cabaran era digital.
“Teknologi AI merupakan pemangkin strategik kepada transformasi sektor awam, meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Yang lebih penting, setiap jabatan perlu mengintegrasikan AI secara strategik dalam proses kerja harian bagi menghasilkan impak nyata kepada rakyat.
“MPC komited menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkasa budaya inovasi dan mempercepatkan pendigitalan sektor awam demi meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya.

Jelasnya lagi, kejayaan transformasi digital turut memerlukan komitmen kepimpinan, kesediaan warga kerja serta kolaborasi erat antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan bagi memastikan penyelesaian AI yang dibangunkan benar-benar memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam.
“Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif MPC untuk menggalakkan agensi kerajaan negeri memanfaatkan teknologi AI dalam pelaksanaan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
“Pendekatan itu antara lain bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan produktiviti organisasi.
“Menerusi inisiatif ini, lebih banyak penyelesaian berasaskan AI diharap dapat diterapkan dalam sektor awam bagi menyokong aspirasi Malaysia MADANI serta agenda transformasi digital negara ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inklusif dan berimpak tinggi,” katanya.