TASEK GELUGOR – Kerajaan Negeri akan memperkukuh kerjasama antara agensi bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran Sungai Kereh di Kampung Selamat serta memastikan tindakan penguatkuasaan dan pembetulan dilaksanakan secara berkesan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, siasatan perlu berdasarkan bukti dan pemeriksaan menyeluruh di lapangan, dengan mengambil kira faktor seperti aktiviti pertanian, pengurusan sisa, sistem perparitan dan aspek persekitaran lain.
Kerajaan Negeri memandang serius isu ini dan komited melindungi alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat.
“Punca sebenar pencemaran perlu dikenal pasti sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan,” katanya dalam kenyataan media pada 20 Oktober 2026.
Kenyataan itu menyusul selepas gesaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan, di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 2026 supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penutupan aktiviti penternakan babi di Malaysia, termasuk di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, susulan isu pencemaran Sungai Kereh.
Difahamkan, ketika ini, terdapat 61 ladang penternakan khinzir di Kampung Selamat di sini.
Mooi Lye berkata, pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang serta agensi teknikal berkaitan.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut menguatkuasakan Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan-Peraturan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, termasuk memantau pematuhan sistem kandang tertutup, rawatan kumbahan dan kualiti pelepasan air di takat akhir kolam kumbahan.
“Pada 11 Mei 2026, perbincangan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), JASPP dan JPVPP diadakan bagi membincangkan penyelesaian pencemaran Sungai Kereh, dengan wakil Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor turut hadir,” katanya.
Dalam perbincangan itu, jelas Mooi Lye, JPVPP membentangkan dua pelan tindakan iaitu penghantaran sisa ke loji biogas sebagai penyelesaian jangka pendek dan cadangan pembinaan fasiliti loji biogas di Kampung Selamat bagi jangka panjang.
Bagi langkah jangka pendek, sisa pepejal dan cecair dari ladang di Kampung Selamat dihantar ke loji biogas di Ampang Jajar.
“Penghantaran sisa dari ladang di Seberang Perai Tengah ke loji biogas di Kampung Valdor bermula pada Jun 2026, manakala penghantaran dari Seberang Perai Selatan telah dilaksanakan sejak 2023.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh pengurusan sisa melalui kemudahan pemprosesan yang bersesuaian serta mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.
Selain cadangan loji biogas di Kampung Selamat, Mooi Lye memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut merancang kerja pembersihan Parit Cina dan Sungai Kereh yang dijangka bermula pada suku pertama 2027.
Kerja itu, katanya, bertujuan mengeluarkan mendapan bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan masalah pencemaran.
Mengulas lanjut, Mooi Lye memaklumkan bahawa industri penternakan khinzir berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, namun pengusaha bertanggungjawab memastikan operasi mereka mematuhi peraturan dan tidak menjejaskan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
“Pengurusan industri ini boleh dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi moden, sistem rawatan sisa yang berkesan, pemantauan berterusan dan penguatkuasaan tegas terhadap ketidakpatuhan.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang dilaksanakan secara bersepadu, praktikal dan mampan demi melindungi alam sekitar serta kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” katanya.