BERMULA sebagai sebuah akademi komuniti dengan hanya 80 pelatih pada tahun 2018, Akademi Bola Sepak Wira Muda kini berkembang pesat dengan hampir 300 pelatih serta 14 jurulatih bertauliah yang komited membimbing bakat muda.
Pengerusi dan Pengasasnya, SHAIK AWISH ALKIRANI, 32, berkata, akademi tersebut pada awalnya beroperasi di Padang Awam Jawi, Nibong Tebal sebelum berpindah ke Akademi Kecemerlangan MARA (AKM), Krian dalam tempoh tiga bulan selepas penubuhan.
“Alhamdulillah, perkembangan ini menunjukkan kepercayaan ibu bapa terhadap sistem latihan dan pendekatan yang kami laksanakan,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui sempena wawancara khas dekat AKM Krian, Nibong Tebal baru-baru ini.

Menurut beliau, Akademi Wira Muda merupakan akademi komuniti swasta yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang serta berdaftar dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Lahirkan pemain ke peringkat elit
Sepanjang hampir sedekad beroperasi, akademi tersebut berjaya melahirkan ramai pemain berbakat yang melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk Akademi Mokhtar Dahari dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Setakat tahun ini, tujuh pelatih kami berjaya menempatkan diri di Akademi Mokhtar Dahari dan JDT, malah, seorang pelatih kami, Nur Azam Muslim Nor Hisham turut terpilih mewakili Malaysia ke Piala AFF Bawah 16 Tahun 2026,” jelasnya.
Di peringkat negeri pula, Akademi Wira Muda konsisten membekalkan pemain kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang bagi kategori bawah 12 tahun serta kerap mara ke perlawanan akhir zon daerah.
Kejayaan Akademi Wira Muda turut terserlah di pentas antarabangsa apabila muncul juara kategori bawah 11 dan 12 tahun dalam kejohanan di Singapura serta Bangkok International Super Cup pada tahun 2025.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut berjaya dipertahankan bagi kategori bawah 12 tahun pada tahun ini.
Sistem latihan tersusun, jurulatih profesional
Akademi Wira Muda membuka penyertaan kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang dibahagikan kepada kategori elit dan pembangunan.
Shaik Awish menjelaskan bahawa kekuatan utama akademi terletak pada sistem latihan yang tersusun, fasiliti lengkap serta barisan jurulatih profesional yang memiliki lesen kejurulatihan bertauliah.
“Kami bukan sahaja melihat kepada kelayakan tetapi juga pengalaman jurulatih dalam mengendalikan pemain muda bagi memastikan potensi mereka dapat digilap secara maksimum,” katanya bap kepada dua cahaya mat aitu lagi.
Latihan diadakan secara berkala pada hujung minggu manakala bagi kumpulan elit, sesi latihan dijalankan lebih kerap termasuk pada hari biasa dan waktu malam, khususnya menjelang kejohanan.
Sasar kekal konsisten lahirkan bakat
Mengulas mengenai sasaran akademi, beliau berkata pihaknya berusaha memastikan pelatih yang tamat latihan pada usia 12 tahun dapat disalurkan ke sekolah sukan negeri atau akademi elit seperti Akademi Mokhtar Dahari, JDT dan Selangor.
“Bagi pelatih yang tidak terpilih, mereka masih mempunyai laluan melalui sekolah biasa atau pusat latihan daerah,” tambahnya.


Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran utama adalah untuk memastikan akademi kekal relevan dan konsisten di mata masyarakat.
“Persaingan semakin sengit, lebih-lebih lagi apabila kami perlu mempertahankan kejuaraan.
“Justeru, latihan intensif sehingga empat hingga lima kali seminggu dilaksanakan, termasuk ketika bulan Ramadan,” katanya.
Rancang sertai kejohanan antarabangsa
Bagi perancangan terdekat, Akademi Wira Muda akan menyertai kejohanan antarabangsa di Pattaya, Thailand bagi kategori bawah 12 tahun pada Julai ini, diikuti kejohanan di Bangkok bagi kategori bawah 10 tahun.
Di peringkat tempatan pula, akademi akan mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij seperti Kuala Lumpur Cup serta (International) MILO Challenger Cup 2025 () di Selangor.
Sokongan pelbagai pihak pemangkin kejayaan
Shaik Awish turut menegaskan bahawa kejayaan akademi tidak akan tercapai tanpa sokongan padu ibu bapa, rakan strategik serta agensi berkaitan.
Juateru, beliau merakamkan penghargaan kepada Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen atas bantuan termasuk penyediaan kemudahan seperti lampu limpah di padang latihan.
Ucapan terima kasih turut diberikan kepada pihak MARA, khususnya Pengarah AKM, Ani Mardiah Azmin dan Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman atas sokongan fasiliti yang berterusan.
Terus komited bangunkan bakat muda
Berkongsi latar belakang, Shaik Awish merupakan bekas pemain bola sepak Pulau Pinang yang pernah beraksi dalam Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Perdana sebelum beralih ke bidang kejurulatihan selepas mengalami kecederaan serius.
Beliau kini komited membangunkan bakat muda melalui Akademi Wira Muda, selari dengan harapan untuk terus melahirkan pemain berkualiti bukan sahaja dalam sukan, malah cemerlang dalam akademik.
“Sebagai akademi komuniti, kami berharap dapat terus mengetengahkan lebih ramai pelatih ke peringkat lebih tinggi, lebih-lebih lagi dalam landskap pembangunan bola sepak negara yang semakin mencabar.
“Sebagai makluman, Akademi Wira Muda juga berkolaborasi dengan International University of Management and Sports (ICMS) yang mana pelatih-pelatih kita yang berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang sukan akan diberikan keutamaan untuk masuk ke kolej ini,” katanya menutup bicara.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai Akademi Wira Muda boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sosial rasmi mereka di Facebook dan TikTok.