BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri hari ini memberi amaran tegas kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga hasil pertanian sehingga menindas golongan petani dan membebankan pengguna.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol mendedahkan wujud jurang harga yang sangat ketara antara harga lantai yang diterima petani di ladang berbanding harga jualan di pasaran terbuka.
Menurut beliau, aduan yang diterima menunjukkan harga hasil pertanian pada peringkat petani adalah sangat rendah, namun melonjak berkali ganda apabila sampai ke tangan pembeli.
“Contohnya cili (cabai), harga di ladang hanya RM3.50 (sekilogram), tetapi di pasaran boleh mencecah sehingga RM15 (sekilogram yang mana perkara) ini tidak sepatutnya berlaku.
“Saya melihat ada kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan atas isu kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga sesuka hati,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Bersama-sama Agensi di Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Dan Keusahawanan pada 27 April 2026.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; dan Pengarah Pertanian Negeri, Mohd Muhaimin Ibrahim turut menyertai majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Rashidi menegaskan bahawa menjadikan isu kenaikan kos pengangkutan sebagai alasan kenaikan harga komoditi pada peringkat pasaran adalah tidak munasabah memandangkan kebanyakan kenderaan logistik bagi sektor pertanian masih menikmati subsidi minyak daripada kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri serta agensi berkaitan mempergiat kerja-kerja pemantauan harga hasil pertanian dari ladang hingga peringkat pasaran bagi membela nasib petani serta tidak menambahkan lagi beban kos sara hidup rakyat.
“Saya sudah berbincang dengan pihak peladang, kita mahu mereka (FAMA) masuk dan membeli terus hasil dari ladang.
“Dengan cara ini, kita boleh beli dengan harga yang lebih munasabah daripada petani dan menjualnya semula kepada rakyat dengan harga yang lebih murah.
“Kerajaan Negeri akan terus mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pemegang taruh bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal stabil dan adil untuk semua pihak,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI