PENAGA – Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3.19 juta bagi bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan RM327,500 bagi sumbangan al-huffaz untuk tahun 2025.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, peruntukan itu disalurkan kepada beberapa kategori sekolah Islam, termasuk Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SMABK), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Maahad Tahfiz, institusi pondok serta Tadika Islam (TADIS) Mutiara Madani.
Bagi tahun ini, sejumlah RM141,000 diperuntukkan kepada SMABK; SMAR (RM343,700); SRAR (RM239,000); KAFA (RM1.86 juta); Maahad Tahfiz dan pondok (RM424,600) serta TADIS (RM180,200), menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM3.19 juta.
“Manakala bagi sumbangan al-huffaz pula adalah sebanyak RM327,500.
“Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri terus komited dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam melalui bantuan tahunan, pembinaan sekolah baharu, penyelenggaraan, penyediaan perabot serta bantuan elaun kepada guru KAFA, guru sekolah Islam dan guru tadika,” ujarnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Al-Huffaz Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025M/1447H di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam dekat sini, 12 Disember 2025.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain; wakil-wakil daripada Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB); Zakat Pulau Pinang; Al-Hady Centre; barisan pengurusan sekolah agama Islam negeri.
Dalam pada itu Mohamad memaklumkan bahawa sehingga tahun 2025, terdapat 340 sekolah Islam yang berdaftar dan berada di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).
“Daripada jumlah tersebut, 12 buah adalah SMABK, SMAR (17); KAFA (218); SRAR (14); Maahad Tahfiz (44); institusi pondok (14) dan TADIS (21).
“Institusi pendidikan Islam ini semuanya menampung hampir 54,600 murid dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 3,300 guru di seluruh negeri,” katanya.

Pada majlis sama, turut diadakan adalah sumbangan al-huffaz kepada para hafiz, melibatkan 27 penerima baharu tahun ini yang mana masing-masing menerima RM500.
Para huffaz merupakan aset negeri yang bukan sahaja membawa ilmu tetapi turut menjadi pembina akhlak masyarakat.
“Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk terus memperkasa mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha meningkatkan akses pendidikan turut diperkukuh melalui kerjasama dengan Etiqa Takaful yang menyumbangkan smartboard bernilai RM140,800 kepada sekolah-sekolah Islam bagi pertingkatkan kaedah pembelajaran digital.
“Pelaksanaan bantuan dan sokongan ini adalah selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030) serta visi Penang2030, yang menekankan pembangunan masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memartabatkan pendidikan Islam dan berharap usaha itu terus diberkati serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Terdahulu, Pengarah JHEAIPP, Dato’ Marzuki Hassan memaklumkan bahawa bantuan disampaikan kepada sekolah agama rakyat yang berdaftar dengan JHEAIPP.
Selain itu, seramai 27 hafiz menerima sumbangan al-huffaz bagi tahun ini yang mana permohonan dibuka sepanjang tahun.
“(Dan) sejak tahun 2008 sehingga 2024, sejumlah 628 hafiz telah menerima manfaat daripada sumbangan ini,” katanya sambil berharap sumbangan demikian dapat diteruskan pada masa hadapan.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: EXCO