GEORGE TOWN – Usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan kanak-kanak di Pulau Pinang terus diperkasakan apabila Kiwanis Rehabilitation Room di Wad C2 Hospital Pulau Pinang (HPP) dibuka hari ini bagi memperluas akses kepada rawatan pemulihan yang lebih menyeluruh untuk pesakit pediatrik.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kemudahan tersebut bukan sekadar menambah fasiliti hospital, malah melengkapkan proses rawatan yang lebih komprehensif dan berfokuskan keperluan pesakit pediatrik.
Menurut beliau, sebagai pusat rujukan subkepakaran dan hospital tertiari bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia, HPP memainkan peranan penting memastikan setiap pesakit kanak-kanak mendapat peluang pemulihan optimum sebelum kembali menjalani kehidupan harian.
“Fasiliti ini dijangka membantu mengurangkan risiko komplikasi serta kadar kemasukan semula ke hospital, selain memastikan kesinambungan rawatan rehabilitasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya ketika merasmikan kemudahan tersebut di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze; wakil Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. R. Premalosini; Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang; Presiden Kiwanis Club Penang Central (KCPC), Catherine Kang; Lieutenant Governor KCPC, Ir. Dr. Ngoo Seong Boon; Pengasas dan Penasihat KCPC, Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengasas Kiwanis Malaysia, Puan Sri Datuk Hajjah Khir Johari serta Governor Elect Kiwanis Malaysia, Eric Low.
Mengulas lanjut, Zi Sen berkata, kemudahan itu dijangka membantu mengurangkan risiko komplikasi dan kadar kemasukan semula ke hospital, selain memastikan kesinambungan intervensi rehabilitasi dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Pembukaan Kiwanis Rehabilitation Room merupakan jalinan kerjasama kali kedua antara Hospital Pulau Pinang dan Kiwanis selepas kejayaan pembukaan Kiwanis Sensory Room pada tahun lalu.
“Kerjasama seperti ini membuktikan bahawa sektor awam dan pertubuhan masyarakat mampu bergerak seiring dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya golongan kanak-kanak,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada KCPC atas komitmen berterusan menyokong pembangunan sektor kesihatan negeri.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Zi Sen berkata, permintaan terhadap perkhidmatan rehabilitasi dijangka terus meningkat selaras perubahan corak rawatan pesakit dan perkembangan Pulau Pinang ke arah negeri menua.
“Peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan rehabilitasi memerlukan pendekatan baharu yang lebih inklusif dan mampan agar akses kepada rawatan tidak hanya bergantung kepada fasiliti kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan cadangan sedang dibawa kepada Kementerian Kesihatan Malaysia supaya perkhidmatan rehabilitasi dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam manfaat skim PEKA B40 bagi membolehkan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah mendapatkan rawatan pemulihan, termasuk di fasiliti swasta.

Sementara itu, Hin Kwang dalam ucapannya sebelum itu berkata bahawa penubuhan Kiwanis Rehabilitation Room mengukuhkan lagi peranan HPP sebagai pusat rujukan tertiari yang menyediakan rawatan dan pemulihan secara menyeluruh kepada pesakit kanak-kanak di wilayah utara.
Fasiliti rehabilitasi pediatrik ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan berfungsi, tahap berdikari serta kualiti hidup kanak-kanak dan remaja yang berdepan cabaran fizikal, kognitif atau perkembangan.
“Intervensi rehabilitasi yang diberikan ketika pesakit masih dirawat di wad terbukti membantu proses integrasi semula ke dalam komuniti, persekolahan dan aktiviti harian.
“Selain membantu pesakit, kemudahan ini turut membolehkan penjaga menerima persediaan dan sokongan secukupnya sebelum proses discaj dilaksanakan secara lebih selamat dan terancang,” jelasnya.
Bagi Catherine Kang pula, pembukaan fasiliti tersebut melambangkan komitmen berterusan Kiwanis dalam memperkukuh akses kepada intervensi awal, perkhidmatan rehabilitasi dan sokongan kesihatan yang lebih inklusif kepada pesakit serta keluarga, khususnya kanak-kanak yang memerlukan.


Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN