MBSP laraskan jadual kutipan sampah, warga Seberang Perai digesa kurangkan pembaziran makanan sempena Aidiladha

Admin
a1786f74 cd48 48b2 87ef 1d0f27a11000 SUASANA semasa berlangsungnya Mesyuarat Bulanan Majlis di Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya di sini pada 25 Mei 2026.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengumumkan penambahan dan pindaan jadual kutipan sampah yang melibatkan ketiga-tiga daerah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 27 Mei ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, langkah berkenaan merupakan komitmen tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi memastikan kelancaran pengurusan sisa pepejal serta mengekalkan kebersihan persekitaran sepanjang musim perayaan.

Menurut beliau, pelarasan jadual tersebut melibatkan pengurusan operasi sebelum, semasa dan selepas perayaan bagi memastikan tiada lambakan sisa berlaku di kawasan perumahan dan komersial.

“Sehari sebelum Aidiladha, iaitu pada 26 Mei (Selasa), MBSP akan menambah kekerapan kutipan. Pusingan pertama akan bermula dari jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang melibatkan Jadual B dan C, manakala kutipan pusingan kedua pula akan bermula jam 2.00 petang sehingga selesai melibatkan Jadual A dan C.

“Pada Hari Raya Aidiladha (27 Mei), operasi kutipan hanya akan dijalankan sekali sahaja, iaitu bagi Jadual C yang akan bermula pada jam 12.00 tengah hari sehingga selesai.

“Operasi akan kembali seperti biasa pada keesokan harinya (28 Mei) mengikut Jadual B dan C bermula jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis (MBM) di Menara Bandaraya di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan mengenai pindaan jadual kutipan sampah kitar semula yang melibatkan kawasan Parlimen Permatang Pauh dan Batu Kawan.

Jelasnya, kutipan sisa kitar semula di kedua-dua kawasan parlimen tersebut yang dijadualkan pada 26 dan 27 Mei akan ditunda dan dijalankan secara serentak pada 30 Mei (Sabtu).

Dalam pada itu, Baderul Amin turut mengambil kesempatan menyeru seluruh warga Seberang Perai agar sentiasa prihatin terhadap alam sekitar dengan mengawal penjanaan sisa sepanjang tempoh perayaan.

Beliau turut menekankan pentingnya amalan berjimat cermat serta menggesa masyarakat setempat supaya mengelakkan pembaziran makanan yang menyumbang kepada peningkatan mendadak jumlah sampah di tapak pelupusan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN