Akta Pengurusan Strata akan dikaji bagi merejuvinasikan perumahan awam – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menegaskan bahawa skim perumahan awam yang disediakan oleh Kerajaan Negeri adalah khusus untuk golongan miskin.

Bagaimanapun katanya, terdapat segelintir pemilik yang menjadikan perumahan awam sebagai alat untuk mengaut keuntungan dengan menyewakan rumah mereka kepada pihak lain yang mungkin boleh mendatangkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut ulas beliau, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) akan dikaji bagi memasukkan peruntukan untuk merejuvinasi (peremajaan) perumahan awam yang mungkin mendapat bantahan daripada sesetengah pihak.

“Saya ambil contoh perumahan kos rendah Rifle Range kerana pemilikan strata telah dikeluarkan kepada pemilik-pemiliknya.

“Katakan, terdapat 3,000 unit rumah dan 100 pemilik daripada unit-unit ini tidak bersetuju dengan cadangan ini (rejuvinasi), maka Kerajaan Negeri tidak boleh masuk kerana tidak ada peruntukan yang membolehkan kita melaksanakan perkara itu.

“Tidak ada mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang membolehkan kita (Kerajaan Negeri) memaksa pemilik selain mendapatkan persetujuan mereka.

“Oleh itu, terdapat cadangan untuk meminda Akta Pengurusan Strata bagi membolehkan projek merejuvinasi perumahan awam dapat dilakukan walaupun terdapat segelintir pemilik tidak bersetuju,” ujar Jagdeep pada sidang media dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini 15 November lalu.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat semasa sesi penggulungan Mesyuarat Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Ke-14 menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang meneliti kaedah baru bagi pemilikan rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan baru-baru ini untuk melihat sama ada skim baru dibina dapat diwujudkan yang mana unit-unit kos rendah dan kos sederhana rendah yang dijual akan tetap menjadi milik Kerajaan Negeri melalui satu kaedah pajakan.

“Malah, pembeli asal juga boleh membeli rumah baru untuk menaik taraf kehidupan mereka daripada mendiami rumah kos rendah, kos sederhana rendah kepada rumah mampu milik.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mengambil semula unit tersebut dan disalurkan kepada pemohon baru yang tersenarai di dalam sistem,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI