RM1.37 juta bakal diperuntuk bagi menyelenggara Pangsapuri Padang Tembak

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal memperuntukkan RM1.37 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih Pangsapuri Padang Tembak pada tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, peruntukan tersebut adalah bagi membolehkan kerja penggantian komponen-komponen yang telah uzur dapat dilakukan.

“Antara isu yang kerap berlaku di Pangsapuri Padang Tembak adalah kerosakan lif dan juga terputus bekalan air.

“Bagaimanapun, kerja-kerja penggantian komponen yang uzur ini akan dilakukan secara berfasa oleh Bahagian Perumahan,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini pada 15 November 2018.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee yang membangkitkan isu penyelenggaraan Rancangan Perumahan Padang Tembak.

Difahamkan, Pangsapuri Padang Tembak yang dibina pada tahun 1969 telah mencecah usia 50 tahun yang mana bangunan, sistem retikulasi serta lima pendawaian kini semakin uzur.

Sehubungan itu, sejak tahun 2010 Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM7.69 juta untuk penyelenggaraan pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkaitan unit bencana, Jagdeep memberitahu bahawa sebanyak 13 unit disediakan Kerajaan Negeri di skim-skim projek perumahan rakyat (PPR) dan pangsapuri Kerajaan Negeri khusus untuk menempatkan mangsa bencana.

“Mana-mana pihak yang terlibat dalam urusan bantuan kepada mangsa bencana boleh berhubung terus dengan pegawai-pegawai di Bahagian Perumahan untuk menyemak ketersediaan unit-unit ini,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI