Aktiviti sihat ‘Bike On Friday’ ke-232, pupuk semangat bersukan

GEORGE TOWN – Kayuhan basikal, Program ‘Bike On Friday’ (BOF) ke-232 hari ini dapat memupuk semangat bersukan terutama dalam kalangan masyarakat negeri ini jelas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Katanya, program seperti ini dapat menggalakkan orang ramai terutamanya warga Pulau Pinang berbasikal untuk ke tempat kerja dan dapat menjadikan Negeri Pulau Pinang lebih Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Sejahtera.

“Program sihat ini akan diadakan setiap hari Jumaat bermula jam 7 pagi sehingga 8 pagi bermula di Queensbay Mall dan berakhir di hadapan Gama Supermarket.

“Kita (MBPP) sentiasa berusaha untuk mentransformasikan Pulau Pinang ke arah bandar yang mesra berbasikal dan menyediakan kemudahan basikal yang lebih baik untuk warga negeri,” katanya sejurus selesai berbasikal dan tiba di perkarangan Gama Supermarket di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato’ Haji Mohd Rashid Hasnon, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Tung Seang juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mohd. Rashid atas penganjuran empat tahun program berbasikal tersebut yang diinisiatifkan oleh beliau semasa menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Mohd. Rashid dalam ucapannya menyatakan program yang dianjurkan selama empat tahun tersebut mendapat sokongan daripada warga negeri dan mengharapkan lebih ramai lagi akan menyertai kayuhan santai tersebut.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: LAW SUUN TING