Trash Free Hill 2.0 sasar 900 sukarelawan, penyertaan percuma dibuka sekarang

GEORGE TOWN – Buat tahun kedua berturut-turut, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) bakal menganjurkan program Trash Free Hill pada 29 September ini.

Pengurus Besarnya, Dato’ Cheok Lay Leng berkata pihaknya menyasarkan seramai 900 sukarelawan terdiri daripada pendaki berpengalaman mengambil bahagian dalam acara tersebut.

“Acara ini bertujuan untuk melindungi dan memelihara kawasan Bukit Bendera serta meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

Lapan lokasi bagi memulakan pendakian.

“Pada tahun lepas, kira-kira 550 pendaki mengambil bahagian dengan melalui lapan laluan dan berjaya mengumpul kira-kira 500 kilogram (kg) sampah seperti botol minuman, kertas, beg plastik dan sebagainya.

“Justeru, pendaki berpengalaman yang ingin turut serta membantu mengutip sampah di sepanjang laluan pendakian Bukit Bendera dialu-alukan menyertai acara ini,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh serta wakil-wakil penaja.

Sementara itu, Boon Poh memberitahu bahawa penganjuran program tersebut disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Turut menjayakan acara ini adalah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pusat Pengajian Kelestarian Global Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Penduduk Bukit Bendera.

“Data-data yang dikumpul pada program ini akan digunakan oleh mahasiswa untuk membuat analisis berkaitan impak sosial dan kesan tingkah laku dalam menentukan jenis pembangunan diperlukan di negeri ini.

“Oleh itu, saya berharap agar orang ramai dapat menyertai acara ini,” ujarnya lagi.

Selain Kerajaan Negeri, syarikat Pembinaan YSBT Sdn. Bhd., Nestle Malaysia, Arup Jururunding Sdn. Bhd., Fung Nian (Penang) Sdn. Bhd., dan Print Hero Sdn. Bhd. turut tampil sebagai penaja program.

Difahamkan, pendaftaran bagi program tersebut kini dibuka sehingga 31 Ogos ini yang mana penyertaan adalah secara percuma.

Bagi yang berminat untuk menyertai boleh layari www.penanghill.gov.my/TFH2019.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING