Aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan – TKMI

Admin

PENAGA – Aktiviti menziarah kubur masih lagi tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Justeru, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat berharap agar masyarakat Islam di negeri ini dapat bersabar dan dinasihati supaya patuh pada larangan demi menjaga kemaslahatan umat.

“Sekiranya panduan mengenai perkara itu tidak disentuh oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ia bermakna aktiviti tersebut masih lagi dalam senarai aktiviti yang dilarang.

“Kita memang tidak galakkan (ziarah kubur) cuma untuk urusan jenazah dibolehkan tetapi perlu mematuhi syarat ditetapkan seperi melakukan solat jenazah di rumah, mengamalkan jarak sosial dan bilangan orang yang menguruskan jenazah adalah terhad kepada 15 orang sahaja.

“Selain itu, majlis tahlil juga masih lagi tidak dibenarkan,” ujarnya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah baharu sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada lima keluarga asnaf dekat Kampung Permatang Rawa Tepi Laut, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohd. Kairi Ghazali.

Mengulat lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua MAINPP menjelaskan bahawa solat Jumaat di masjid yang telah dibenarkan mulai 22 Mei ini dihadkan bilangan jemaah kepada 15 orang sahaja.

“Panduan untuk mendirikan solat Jumaat sedang disiapkan dan akan diguna pakai setiap ahli jawatankuasa masjid dalam waktu terdekat ini,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD