MBPP puas hati pematuhan dine-in di premis makanan

Admin

PANTAI JEREJAK – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berpuas hati dengan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semua premis makanan dan minuman yang membenarkan pelanggan makan di kedai atau dine-in di restoran masing-masing sejak 15 Mei lalu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, setakat ini hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya mendapati kebanyakan pemilik restoran makanan sama ada hotel, pasar raya mahupun restoran francais mengikut semua 14 syarat yang ditetapkan.

“Banyak premis didapati mematuhi kehendak syarat-syarat pembukaan yang ditetapkan, malah ada yang melaksanakannya dengan lebih baik daripada apa yang MBPP tetapkan seperti penjarakan meja ke meja sejauh 2 meter (m), dan kedudukan pelanggan minimum 1m antara satu sama lain.

“Malah, ada pemilik kedai yang mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan panel-panel tidak statik untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi ketika pelanggan berada di dalam premis mereka

“Majlis bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan sentiasa memberi nasihat dari semasa ke semasa kepada pemilik adakah inisiatif yang dilakukan mereka praktikal dilaksanakan ataupun tidak,” ujarnya selepas melakukan pemantauan di kompleks pasar raya Queensbay Mall di sini sebentar tadi.

Turut mengiringi beliau kumpulan pengurusan Queensbay Mall.

Dalam pada itu, Tung Seang memaklumkan bahawa kira-kira 30 peratus pemilik premis makanan masih lagi tidak membenarkan pelanggan makan di premis masing-masing.

Jelasnya, terdapat segelintir pemilik restoran yang mengambil sikap berhati-hati dan lebih selesa menggalakkan pelanggan membungkus makanan sahaja.

“Ini adalah inisiatif dan kehendak pemilik (restoran) sendiri, dan ia adalah satu perkembangan positif dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

“Di pihak MBPP secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan kadar pematuhan syarat yang ditetapkan dan berterima kasih kepada semua pemilik restoran dan orang ramai yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan… kita (MBPP) akan memperkukuhkan apa yang perlu untuk mengekalkan negeri sebagai zon hijau,” ujarnya lanjut.

Mengulas mengenai penggunaan sistem pendaftaran aplikasi Penang Contact Tracer (PGCare), Tung Seang memaklumkan bahawa sistem itu diterima baik.

“Banyak pemilik kedai sudah menggunakan aplikasi ini yang mana ia memerlukan pengunjung mendaftar nama dan nombor telefon masing-masing sebelum memasuki premis perniagaan.

“Semua maklumat (orang ramai) ini hanya boleh diakses pihak Kerajaan Negeri dan ia akan terpadam secara automatik selepas 30 hari,” jelasnya.

Oleh :NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG