‘Allianz Penang Bridge International Marathon’ pecah rekod

Oleh: ZULIANA AZIZ

SEBAHAGIAN peserta bersemangat ingin memulakan larian ‘Allianz Penang Bridge International Marathon’.
SEBAHAGIAN peserta bersemangat ingin memulakan larian ‘Allianz Penang Bridge International Marathon’.

GEORGE TOWN – Jambatan Pulau Pinang merupakan satu simbol ikon negeri Pulau Pinang yang dikenali di seluruh dunia. Satu laman web telah meletakkan Jambatan Pulau Pinang antara 10 struktur binaan manusia yang paling seksi di dunia.

Larian Jambatan Pulau Pinang yang diadakan saban tahun juga telah mempopularkan nama negeri ini di seluruh Malaysia dan di mata dunia.

Pada tahun ini, ‘Allianz Penang Bridge International Marathon’ telah mencatat jumlah penyertaan sebanyak 27,500 orang, sekaligus memecah rekod Larian Jambatan yang terbesar di Malaysia dan telah diiktiraf oleh ‘Malaysian Book of Records’.

“Lebih 1,500 pelari merupakan pelari antarabangsa yang terdiri daripada 67 negara termasuk Singapura,  Indonesia, Thailand, Jepun dan United Kingdom.

“Saya difahamkan bahawa kesemua hotel yang berdekatan telah penuh ditempah oleh pelari-pelari marathon. Ini membuktikan bahawa ‘Allianz Penang Bridge International Marathon’ berupaya menjana pulangan yang lumayan kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri Pulau Pinang,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa merasmikan larian separuh dan penuh marathon di Queensbay, di sini baru-baru ini.

Difahamkan, terdapat lebih 400 pelari merupakan warga emas berumur lebih dari 60 tahun turut menyertai larian tersebut.