Delegasi Jepun dibawa lawat Tapak Warisan Dunia George Town

GEORGE TOWN – Gabenor Yuji Kuroiwa serta empat delegasi lain dari Wilayah Kanagawa, Jepun dibawa ke Tapak Warisan Dunia George Town sempena lawatan delegasi tersebut ke sini.

Tinjauan rasmi yang diaturkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh.

Mereka dibawa melawat bangunan operasi Pusat Warisan Dunia George Town di Lebuh Pitt, di sini.

Di pusat tersebut, mereka diberi penerangan mengenai usahasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam memelihara dan memulihara Tapak Warisan Dunia George Town.

Mereka turut dibawa menikmati keindahan seni bina Mughal di Masjid Kapitan Keling.

Dalam pada itu, mereka juga dibawa menikmati seni bina neoklasik dan Greek pada bangunan gereja St. George, di sini.

Tinjauan rasmi tersebut sebagai menghargai kerjasama erat antara wilayah Kanagawa dan George Town yang  terjalin sejak dua dekad lalu.