Altera kukuhkan kedudukan pusat pembangunan bakat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Syarikat semikonduktor, Altera Corporation (Altera) kini menfokuskan aspek penyelidikan dan pembangunan disamping mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pusat pembangunan bakat di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Altera mempunyai hubungan dan kesinambungan yang kuat dalam bidang akademik apabila mengamalkan dasar pintu terbuka kepada pelajar dan para graduan untuk dibimbing oleh pakar-pakar dalam bidangnya.

“Hubungan yang terjalin adalah dalam kalangan universiti-universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Melalui dasar ini (buka pintu), belia dapat dilatih dengan standard bertaraf dunia, teknologi canggih dan peroleh hands-on pengalaman berharga yang relevan dalam industri masa kini,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Ulangtahun Ke- 20 Altera di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden Altera, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman.

Dalam pada itu, Mohd. Sofi berkata, syarikat semikonduktor tersebut menyasar untuk meningkatkan bilangan paten miliknya sebanyak 50 peratus pada tahun akan datang.

“Melalui kerja keras, kami (Altera) telah berjaya memperoleh 160 paten yang mana pada tahun ini sahaja 33 paten telah diperoleh iaitu yang dikeluarkan US Patent and Trademark Office,” ujar beliau.