Anwar puji sumbangan An-Nahdhoh, KM memartabat Islam

KETUA Menteri beramah-mesra dengan Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Projek Penaiktarafan Jalan Utama ke Madrasah An-Nahdhoh di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri beramah-mesra dengan Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Projek Penaiktarafan Jalan Utama ke Madrasah An-Nahdhoh di sini baru-baru ini.

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD & ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau akan mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membiayai kos penaiktarafan jalan utama ke Madrasah An-Nahdhoh di sini.

“Kali ini, saya sendiri akan keluarkan peruntukan kerana institusi pendidikan ini dikenalpasti giat membantu Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Islam,” ujarnya pada Majlis Perasmian Naiktaraf Jalan Madrasah An-Nahdhoh dan Projek Tebatan Banjir Kawasan Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

Guan Eng turut memuji inisiatif Dr. Norlela Ariffin kerana gigih mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri sejak diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti pada Mei tahun lepas, sehingga berjaya memajukan serta mengurangkan risiko banjir di beberapa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

“Keseluruhan untuk (menangani risiko) banjir sahaja di KADUN Penanti, kita belanja RM5.6 juta, itu sebab Dr. Norlela kalau lihat saya dia senyum sahaja,” seloroh Guan Eng.

Bercakap pada majlis sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Guan Eng kerana berjaya menguruskan kewangan negeri hingga diiktiraf dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Anwar, Guan Eng sejak dimahsyurkan sebagai Ketua Menteri lebih enam tahun lepas dilihat konsisten dalam memartabatkan Islam serta mutu   pendidikan di negeri ini.

“Dengan kemampuan kecemerlangan urus tadbir kewangan yang ditunjukkan di Pulau Pinang ini, kita (Pakatan Rakyat) boleh melakukan lebih baik lagi jika diberi mandat urus Putrajaya kelak,” tegas Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Pengerusi Yasasan dan Madrasah An-Nahdhoh, Tuan Guru Ustaz Mutalib Maarof pula dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif menaiktaraf jalan ke pusat pengajian komuniti Islam di sini.

“Jalan ini sebenarnya bukan sahaja digunakan oleh pelajar dan orang kampung yang datang mengaji di sini, malah, (turut digunakan) oleh penduduk setempat, petani, peniaga dan sebagainya.

“Semoga dengan inisiatif Kerajaan Negeri membuka (membaikpulih) jalan ke pusat pengajian ilmu agama di sini, Allah membuka pintu hidayah dan jalan kita ke syurga kelak,” ujar Mutalib.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap ADUN Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Dato’ Mansor Othman (Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang, YIPP merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal).

Dalam perkembangan berasingan, Anwar mengingatkan pemimpin Kerajaan Pusat supaya tidak terus menyalahguna kuasa, boros serta rasuah dalam menguruskan kewangan negara.

Katanya, rakyat akhirnya dibebankan dengan pelbagai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga minyak disebabkan kerajaan gagal menguruskan kekayaan negara secara berhemat.

Menurut Anwar, Al-Quran sendiri jika dihayati sebenarnya banyak menuntut pemimpin negara menguruskan kekayaan negara sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusof A.S. semasa diamanahkan untuk menjadi Menteri Kewangan Mesir suatu ketika dulu.

“Saya harap agar nas-nas Al-Quran dapat digunakan secara realiti terutamanya dari segi ekonomi, kekayaan dan pembangunan.

“Janganlah kekayaan itu berlegar dalam kalangan mereka yang kaya sahaja,” tegas Anwar dalam Program Ijtimak Al-Huffaz Peringkat Negeri Pulau Pinang 1436H/2014M di sini baru-baru ini.

Anwar turut mensyarahkan maksud ayat 7 daripada Surah Al-Hasyr, yang bermaksud, “Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar dalam kalangan  orang-orang kaya di kalangan kamu…”.

Majlis sumbangan tunai RM500 seorang Kerajaan Negeri kepada 471 huffaz atau penghafal-penghafal al-Quran yang keseluruhan berjumlah RM235,500 tersebut turut disaksikan oleh Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.