Anak jati Pulau Pinang ukir sejarah, rangkul dua emas di pentas Muay Thai dunia

Admin

BAYAN LEPAS –  Atlet Muay Thai muda yang juga anak jati Pulau Pinang, Muhammad Aliff Mohd. Azizi, tidak menyangka penyertaan sulungnya dalam kejohanan Muay Thai dunia baru-baru ini menjadi detik paling berharga buat dirinya.

Muhammad Aliff yang berusia 15 tahun, bukan sahaja berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam Kejohanan Muay Thai Dunia Ke-16 di Bangkok, Thailand tetapi juga berjaya merangkul dua pingat emas dalam pertandingan yang disertai 60 buah negara.

“Mulanya saya hanya mahu menimba pengalaman bersaing di peringkat dunia, tidak sangka kejuaraan menjadi milik saya.

“Ayah saya menjadi kekuatan kepada saya apabila dia mengiringi saya ke setiap pertandingan dan emak sentiasa memberi kata-kata semangat walaupun hanya menyokong dari rumah.

“Begitu juga kepada jurulatih dan pihak-pihak lain yang terlibat sehingga membolehkan saya sampai ke tahap ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang baru-baru ini.

Muhammad Aliff tiba di Pulau Pinang bersama-sama atlet Muay Thai dari Perlis, Perak dan Kedah dan disambut oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya serta Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee dan wakil persatuan Muay Thai negeri-negeri berkaitan.

Difahamkan, Muhammad Aliff bersaing dalam kategori 45 – 48 kilogram dan abangnya, Muhammad Adam Mohd, Azizi, 17, turut membawa pulang satu pingat perak bersaing dalam kategori remaja 54 – 57 kilogram.

Bercerita lanjut, Muhammad Aliff memberitahu, pingat emas kedua diraih apabila beliau mendapat cabaran daripada pihak lawan (India) yang tertarik dengan kekuatan fizikal dan taktikalnya.

“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada keluarga saya yang banyak memberi dorongan dan sokongan dan tidak lupa kepada jurulatih yang bertanggungjawab melatih saya,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Air Tawar, Seberang Perai Utara.

Sementara itu, Lip Chee ketika ditemui, menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua sembilan wira Muay Thai yang menyertai pertandingan berprestij bermula 12 hingga 20 Mac lalu.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan pusat latihan Muay Thai di Titi Mukim, Butterworth.

“Saya percaya dengan adanya fasiliti yang bersesuaian ini, ia akan dapat meningkatkan lagi semangat atlet Muay Thai untuk lebih fokus dalam mencipta kejayaan seterusnya pada masa hadapan.

“Diharap dengan kejayaan yang dikecapi ini, dapatlah membuka mata pelbagai pihak untuk bersama-sama Kerajaan Negeri membantu meningkatkan pembangunan sukan Muay Thai di sini,” jelasnya.

Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD