Rakyat disarankan jimat-cermat guna air pada musim cuaca panas dan kering

CUACA panas dan kering yang melanda negara kini turut dirasai oleh rakyat Pulau Pinang.

Malah, situasi tersebut turut menjejaskan kapasiti efektif di kebanyakan empangan di negeri ini termasuklah Empangan Air Itam yang dikatakan hanya mampu bertahan dalam tempoh 48 hari (sejak 26 Mac) sekiranya cuaca panas dan kering ini berterusan tanpa hujan.

Rentetan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow baru-baru ini menyarankan agar rakyatnya berjimat-cermat dalam penggunaan air harian.

Wartawan Buletin Mutiara, SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN sempat mengadakan tinjauan umum berhubung saranan Ketua Menteri itu dan mampukah mereka berjimat-cermat menggunakan air.

APA KATA MEREKA?

GURMANDEV Singh, 27, penjawat awam yang bertugas di KOMTAR.

GURMANDEV Singh

“Kita tidak perlu selalu membasuh kereta.

“Perkara asas yang sepatutnya dilakukan sebagai pengguna adalah menutup pili paip bagi mengelakkan pembaziran air.

“Pihak kerajaan boleh mengadakan program tentang penjimatan air untuk mendidik serta memupuk kesedaran dalam kalangan warga negeri,” katanya.

HANIZA Adzmi, 37, kontraktor.

HANIZA Adzmi.

“Air merupakan salah satu keperluan yang penting bagi manusia dan berikutan daripada cuaca yang panas ini, saya akan mandi tiga kali sehari dan lebihkan minum air untuk elakkan strok haba.

“Mungkin ada teknologi baru atau melakukan pembenihan awan mampu menambah kapasiti air di empangan,” ujarnya.

Navainthran, 52, pemandu teksi.

Navainthran.

“Jangan siram pokok bunga dengan air sedia ada…boleh takung air hujan dan guna air takungan tersebut untuk menyiram pokok bunga.

“Selalunya apa yang saya lihat di kawasan jiran tetangga, ada jiran yang membazirkan air selama dua jam hanya untuk siram pokok bunga.

“Setakat hari ini kualiti air memang tiada masalah dan pihak kerajaan boleh menyediakan tong air simpanan untuk kemudian hari,” cadangnya ketika ditemui di kawasan Prangin Mall, George Town.

SIM Zhi Qi, 21, pelajar Universiti Terbuka Wawasan Pulau Pinang.

SIM Zhi Qi.

“Cuba elakkan mandi terlalu lama kerana ia boleh membazirkan air dan semasa kita menggosok sabun, cubalah untuk menutup pili paip, jangan biar ia mengalir.

“Pihak kerajaan boleh mengenakan caj tambahan dan memberi notis amaran kepada warga negeri yang menggunakan air secara berlebihan.

“Apabila pihak kerajaan berbuat demikian, rakyat akan lebih peka dan akan mengamalkan penjimatan air untuk mengelakkan caj tambahan tersebut,” responnya.

FATIN Ayuni, 31, Polis Bantuan Rapid Penang.

FATIN Ayuni.

“Saya syorkan agar rakyat Pulau Pinang menyediakan tong simpanan air dan gunakan air waktu penting sahaja.

“Pihak kerajaan boleh menyediakan tong khas kepada setiap rumah dan jika terdapat gangguan bekalan air, warga negeri tidak perlu risau kerana tong air khas tersebut dapat menampung keperluan harian mereka,” katanya.

NUR Izyan Zulkifli, 23, pelajar praktikum di KOMTAR.

NUR Izyan Zulkifli.

“Pada pendapat saya untuk jimatkan air, kita gunakan air pada waktu perlu sahaja dan elakkan pembaziran air.

“Tutup pili paip dengan ketat bagi elakkan air menitik dan melimpah keluar dari tangki atau kolah di rumah.

“Kalau nak harapkan semua orang untuk menjimatkan air memang sukar sebenarnya, namun pihak kerajaan boleh membuat alternatif lain seperti membuat pembenihan awan dan penduduk Pulau Pinang harus membuat stok simpanan air di rumah untuk kemudian hari,” jelasnya.

TING Tong Mew, 73, pesara pekerja ladang kelapa sawit.

TING Tong Mew.

“Jika seseorang itu mengamalkan sikap berhemah, dia akan jimatkan air sebaliknya jika seseorang itu mengamalkan sikap membazir, dia akan terus membazir dan amat sukar bagi kita untuk mengubah sikap manusia.

“Keluarga saya akan kitar semula air yang digunakan dalam bilik air untuk dipam dalam tandas.

“Bil air apartment saya adalah dalam lingkungan RM11 untuk dua bulan. Kami cuma bertiga sahaja dan sekiranya tarif air dinaikkan sedikit, saya rasa tiada masalah. Tetapi janganlah terlalu tinggi, nanti timbul rungutan pula,” katanya.

MAZURAH Pawanchi, 51, pengusaha gerai kopi di KOMTAR.

MAZURAH Pawanchi.

“Saya cuba menggunakan cawan kertas untuk diberikan kepada pelanggan namun mereka tidak menyukainya.

“Sebenarnya, apabila saya menggunakan cawan kertas, ia dapat menjimatkan air kerana saya tidak perlu basuh gelas kaca dan cawan plastik di samping ianya memudahkan lagi kerja saya.

“Saya hanya bayar kurang daripada RM40 untuk bil air rumah dan dalam lingkungan RM100 bagi bil air perniagaan saya.

“Saya tidak tahu sama ada kadar tarif air ini adalah idea yang baik ataupun tidak, namun saya akan ikut majoriti,” ujarnya.