Anak muda diseru daftar sebagai pengundi

Admin

PENAGA – Anak-anak muda sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga diseru mendaftar sebagai pengundi bagi menjamin hak sebagai warganegara Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman di dalam ucapannya turut menegaskan bahawa anak-anak muda juga bertanggungjawab untuk membuat hebahan program-program kebajikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri seperti Program Penghargaan Warga Emas, Program Anak Emas, bantuan kepada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan lain-lain.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pertandingan Futsal Ke-2 (bawah 21 tahun) anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pasir Gebu dan Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras KADUN Penaga di Padang Awan Pasir Gebu di sini baru-baru ini.

Di dalam kejohanan yang disertai oleh 24 pasukan itu, Pasukan Pemuda Permatang Janggus telah muncul juara. Pasukan terbabit telah menerima hadiah wang tunai bernilai RM400 berserta medal.

Sementara itu, di dalam program berasingan, Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras KADUN Penaga turut mengadakan Sesi Ramah Mesra Bersama Komuniti Masyarakat Cina Penaga di Kampung Guar Kepah di sini.

Sesi yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bukan hanya bertujuan memberi penerangan berhubung perkhidmatan serta program Kerajaan Negeri, malah, pada masa sama, dialog antara penduduk turut diadakan.