Anak penguat semangat ‘Tailor Gila’ terus berusaha perbaiki segala kekurangan

Admin

SIAPA sangka ketibaan Hari Kebangsaan mampu membawa limpahan rezeki kepada pihak-pihak tertentu.

Antaranya, pengusaha butik pakaian Seri Busana Fashion House, MAHANI UDIT, 34, yang tular di media sosialsehingga diberi gelaran ‘Tailor Gila’ kerana menerima tempahan busana kemerdekaan sebanyak lebih 28,000 helai.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambarSITI NURATIKAH RAHMAT berkesempatan menemu bual beliau untuk melihatsendiri konsep busana kemerdekaan rekaannya yang menjadi tarikan pelanggan

Latar belakang

Menurut Mahani, beliau merupakan seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak yang mana dua daripadanya berusia belasan tahun manakala yang bongsu berusia tiga tahun.

Detik awal sebelum tercetusnya inspirasi menjadi ‘Tailor Gila’ adalah disebabkan anak-anak saya, memandangkan di sekolah selalunya akan dianjurkan sambutan pelbagai perayaan dan pelajar dikehendaki mengikut tema yang ditetapkan.

Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan suka lihat mereka menonjol dengan busana yang digayakan.

Hendak menempah baju di kedai tukang jahit sudah tentu harganya mahal, jadi saya memilih untuk jahit sendiri,” ujarnya ketika ditemui dekat butik miliknya di Kompleks Bukit Jambul.

MAHANI Udit.

Tambah Mahani, berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada YouTube, beliau kemudiannya meyakinkan diri untuk mengambil tempahan daripada pelanggan secara kecil-kecilan.

“Saya bukan sahaja menjahit busana kemerdekaan, malahan juga jenis busana yang lain mengikut permintaan pelanggan yang inginkan rekaan atau inspirasi sendiri.

Sudah tentu kepuasan pelanggan adalah keutamaan perniagaan yang saya jalankan ini, sehingga kini apa sahaja yang diminta oleh pelanggan berjaya dilaksanakan dengan baik,” jelasnya lagi.


‘Tailor Gila’

Bagi Mahani, beliau sendiri tidak tahu gelaran ‘Tailor Gila’ yang diberikan kepadanya selepas perniagaan itu tular di media sosial menerusi platform YouTube, Facebook dan juga TikTok.

“Saya akui perniagaan kian berkembang selepas tular di media sosial sehingga mendapat banyak tempahan sehingga ada yang menempah slot untuk tahun hadapan.

“Di samping itu, saya mempunyai 10 tukang jahit dan 10 pembantu butik bagi membantu serta memenuhi permintaan pelanggan yang tidak henti-henti datang mencari busana diingini.

Menariknya, kami sudah mula menyiapkan tempahan pukalsejak Januari lalu dan berjaya menghantar sebanyak 28,000 helai busana, manakala sebanyak 15,000 helai stok sedia adaterdapat di butik bagi pelanggan yang ingin membeli secarawalk in’,” tambahnya yang mampu menyiapkan sepasangbusana dalam masa setengah jam.

SEBAHAGIAN rekaan dan perhiasan tambahan yang turut dijual.

Di samping itu, Mahani turut berkongsi berita gembira bahawa beliau kini mempunyai sebuah kilang jahitan sendiri hasil daripada kerja keras bersama-sama pasukannya.

“Saya amat bersyukur dengan rezeki yang mendatang untuk tahun ini, tidak dinafikan juga tahun lalu tidaklah sebanyak ini sehingga pasukan saya mampu menjahit 300 hingga 500 helai busana dalam masa sehari.

“Selain itu, saya juga tidak menyangka rekaan kostum dan busana yang dikeluarkan mendapat permintaan ramai daripada pelbagai peringkat usia termasuk mendapat tempahan dari Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri sekitar Semenanjung,” tambahnya sambil menyatakan bahawa busana rekaannya turut dibeli personal shopper’ dan ejendropship’.

Busana Kemerdekaan

ANTARA pelanggan yang membanjiri butik dan memilih busana yang diingini.
TELATAH anak bongsu Mahani menggayakan salah satu busana kemerdekaan rekaannya.

Pada sesi sama, Mahani memberitahu bahawa sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini lebih meriah kerana diraikan bermula dari tadika, sekolah rendah dan menengah selain disambut pada peringkat negeri dan kebangsaan.

“Pada pandangan saya, sudah tentu ramai yang mahumelahirkan nilai patriotik dalam diri mereka kerana terdapat juga yang mengambil bahagian dalam acara perbarisan dan pertandingan pakaian beragam sempena sambutan Hari Kebangsaan

“Fesyen bermotif corak dan warna Jalur Gemilang seperti baju cheongsam, baju kurung, baju Melayu, busana ala pendekar, tanjak, kebarung, kebaya, kurta paling diminati ramai dengan harga jualan serendah RM70 sehingga RM800.

“Bagi menambah keselesaan pelanggan, saya turut menggunakan material kain kapas yang selesa dipakai.

“Selain songket, terdapat juga pelanggan yang meminta rekaan yang memfokuskan perincian yang lebih sarat yang boleh mencecah harga ribuan ringgit,” kongsinya lanjut.


Cabaran
dan harapan

Bagi Mahani, rezeki yang diperolehnya mengajar dirinya untuk tidak berhenti berusaha dan memperbaiki segala kekurangan.

“Tidak lengkap sesebuah perniagaan itu tanpa sebarang rintangan.

Sebagai ibu tunggal, banyak rintangan yang saya perlu hadapi seorang diri, anak-anak juga yang menjadi kekuatan untuk terus berusaha.

“Saya dan anak-anak pernah hidup dalam kesusahan, oleh itu saya bertekad untuk mengubah nasib keluarga.

“Jika diberikan rezeki dan kesempatan masa, saya juga ingin mengembangkan perniagaan dan membuka cawangan lain suatu hari nanti,” katanya menutup bicara.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT