Perhebat usaha mengharmoni rakyat beracuan Malaysia Madani

Admin

BAYAN LEPAS – Semua badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini wajar memperhebat usaha mengharmonikan masyarakat berbilang kaum berdasarkan acuan Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim.

ZULKIFLI Rashid

Mewakili Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Rashid berkata demikian semasa merasmikan Majlis Forum Harmoni dan Hi-Tea anjuran Gabungan Dakwah Malaysia Pulau Pinang (GDMPP).

“Malaysia Madani adalah seruan tindakan kepada nilai-nilai yang tinggi agar masyarakat mengorientasikan diri pada segenap peringkat supaya kita bersama-sama tanpa sesiapa pun ketinggalan, menuju negara lebih gemilang dan penuh keredhaan Ilahi.

“(Dan) dengan mengangkat nilai-nilai seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan, masyarakat bergerak ke arah matlamat bagi mencapai manifestasi nilai tersebut,” jelasnya dalam majlis berkaitan di Kompleks Tabung Haji Pulau Pinang di sini pada 9 September 2023.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu GDMPP dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kerana berjaya menghimpunkan lebih 70 perwakilan daripada pelbagai NGO dan wakil agama-agama bagi menyertai acara tahunan yang dianjurkan sempena bulan kemerdekaan pada kali ini.

Pengerusi GDMPP, Mohd. Yusni Ghazali turut berucap dalam majlis tersebut.

Serentak pada majlis sama, turut diadakan forum harmoni dengan membariskan tiga panelis iaitu Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Pulau Pinang, Fadzil Alias; Setiausaha Kehormat World Humanitarian Drive (WHD), Prof. Dato’ Dr. GP Doraisamy; dan Pastor dari dari Gereja Komuniti Ecclesia Pulau Pinang dan Pahang, Michal Thomas; serta Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Shaik Abdullah Hassan (selaku moderator).

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD