Anggota perkhidmatan Pulau Pinang terima BKK 0.5 bulan gaji, minimum RM1,000

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan pemberian 0.5 bulan gaji atau kadar minimum RM1,000 kepada 3,905 anggota perkhidmatan awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Bayaran bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) berkaitan akan dibuat pada 28 Mei 2019 dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5.27 juta.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi BKK kepada kakitangan awam negeri dengan bayaran sebanyak 0.5 bulan gaji atau minimum RM1,000,” ucapnya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bersama-sama Y.A.B Ketua Menteri dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; ex-officio serta semua anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan.

CHOW Kon Yeow.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama daripada semua penjawat awam negeri yang dilihat mampu menjayakan inisiatif bagi membentuk Pulau Pinang sebuah negeri yang ‘A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation’.

“Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri cukup bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat yang mana semua kejayaan yang dikecapi bukanlah kejayaan Ketua Menteri atau wakil rakyat tetapi kejayaan kita semua sebagai penjawat awam.

“Kepimpinan negeri tidak mampu melaksanakan segala dasar sekiranya tiada penjawat awam yang menjadi tulang belakang dalam melaksanakan segala perancangan.

“(Dan) bagi memastikan kita semua berada di landasan yang betul, Kerajaan Negeri telah melancarkan visi Penang2030 pada 29 Ogos 2018 lalu dan kini, menjadi tugas kita (selaku penjawat awam) untuk merealisasikan.

“Marilah kita bekerja dengan lebih kuat lagi bagi menterjemahkan dasar negeri dalam pelbagai bentuk sama ada melalui projek, program mahupun inisiatif bagi memastikan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang mendapat manfaat,” serunya yang turut meletakkan harapan tinggi kepada anggota perkhidmatan awam negeri di bawah kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

SEBAHAGIAN anggota perkhidmatan awam yang hadir pada majlis berkaitan pagi ini.

Menyentuh mengenai janji-janji yang terkandung dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Kon Yeow memaklumkan bahawa 43 daripada 68 janji telah dilaksanakan.

“Manakala, 11 janji sedang diusahakan, 10 masih di peringkat perancangan dan empat lagi masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Tanggal 9 Mei 2019 baru-baru ini juga merupakan ulang tahun pertama bagi saya selaku Ketua Menteri, dan ia merupakan suatu perjalanan yang baru meskipun telah 10 tahun bergelar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sejak 2008.

“Baki empat tahun lagi untuk pentadbiran penggal ini, pastinya fokus Kerajaan Negeri adalah untuk menyempurnakan projek-projek untuk rakyat baik dalam aspek perumahan, infrastruktur, pengangkutan, pelancongan, telekomunikasi, industri dan sosio-ekonomi rakyat di negeri ini.

“Saya akui, apabila berada di bawah ‘payung’ pentadbiran yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, rakyat mengharapkan prestasi Kerajaan Negeri lebih cemerlang berbanding sebelumnya dan itu merupakan cabaran baru yang perlu dipikul sebagai mungkin.

“(Dan) sebagai Ketua Menteri baru, sudah tentu tanggungjawab ini saya galas dengan hati yang terbuka dan penuh iltizam untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih baik terutama dalam aspek taraf hidup, persekitaran yang hijau dan mampan serta keharmonian rakyat,” ujarnya sambil berharap semua pihak dapat menghayati visi Penang2030 yang digagaskan untuk negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN