Padang Kota Permai bakal dinaik taraf berdasarkan maklum balas penduduk

Admin

BAGAN LALANG – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong buat julung kalinya menganjurkan Karnival “Reka Bentuk Taman Idaman Anda” untuk mendapatkan maklum balas penduduk bagi menaik taraf Padang Kota Permai, di sini.

Chee Keong berkata, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk dan pihak berkepentingan di Taman Kota Permai untuk mengemukakan cadangan mengenai kemudahan-kemudahan yang diperlukan di situ.

“Saya menerima banyak permohonan untuk menaik taraf dan memperbaiki padang di sekitar Bukit Mertajam.

Antara kemudahan yang dicadangkan dibina di Padang Kota Permai.

“Jadi, saya fikir kita tidak boleh hanya baik pulih sebaliknya perlu memikirkan semula konsep reka bentuk padang kerana kebanyakan padang yang ada hari ini dirancang dengan cara yang sama sejak berabad yang lalu.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk mendapatkan pandangan orang ramai termasuk pihak berkepentingan, penduduk dan mereka yang selalu menggunakan padang ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan karnival berkenaan, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bernard Cheen Goon Hooi dan Pengarah Projek Think City Sdn. Bhd., Murali Ram.

Program turut dimeriahkan dengan beberapa lagi acara seperti pemeriksaan kesihatan, permainan tradisional, proses kitar semula plastik serta pameran seni kraftangan.

Mengulas lanjut, Chee Keong berkata bahawa peruntukan keseluruhan bagi projek menaik taraf padang-padang di sekitar Bukit Mertajam adalah kira-kira RM500,000 berdasarkan keperluan.

“Projek ini juga sesuai dengan portfolio saya sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan kerana kita mahu menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

“Jadi, kita akan melabur dalam membaik pulih padang dan sekiranya projek ini berjaya mungkin ia boleh dibuat di negeri-negeri lain juga,” katanya lagi.

Difahamkan, antara ciri-ciri reka bentuk yang diketengahkan untuk pilihan penduduk adalah pemasangan arca seni, menanam lebih banyak pokok dan landskap, membina padang bola sepak, taman permainan, menyediakan alatan senaman, trek joging dan refleksologi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : PEJABAT AHLI PARLIMEN