Angka penghidap kanser kanak-kanak semakin membimbangkan, ibu bapa diseru didik anak jalani gaya hidup sihat

Admin

GEORGE TOWN – Angka penghidap kanser kanak-kanak di dunia semakin membimbangkan apabila setiap 2 minit, kanak-kanak didiagnosis dengan kanser, ujar Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

 

Afif berkata, bagi tempoh 20 tahun lalu, insiden melibatkan kanser kanak-kanak turut sama meningkat kira-kira 13 peratus.

 

“Kanser adalah penyebab kematian kedua tertinggi di kalangan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

 

“Kanak-kanak adalah bakat penting untuk negara, mereka adalah generasi masa depan yang akan mewarisi legasi penting negara pada tahun-tahun mendatang.

 

“Ramai daripada rakyat Malaysia yang menghidap kanser enggan menjalani pemeriksaan atau memilih untuk melengahkan rawatan awal ekoran mitos dan salah faham mengenai penyakit pembunuh ini,” ujarnya ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak di perkarangan Hospital Besar Pulau Pinang (HPP), di sini pagi ini.

 

Kempen murni tersebut adalah hasil gembleng usaha sama di antara Jabatan Pediatrik HPP bersama-sama dengan Lions Club of Tanjung Putri dan McDonald’s.

 

Hadir sama Pemangku Ketua Jabatan Pediatrik HPP, Datuk Dr. Rus Anida dan wakil-wakil daripada Lions Club of Tanjung Putri.

 

Menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan, satu daripada sepuluh lelaki, dan satu daripada sembilan wanita berisiko mendapat penyakit dalam seumur hidup mereka, dan lebih 100,000 rakyat Malaysia hidup dengan kanser.

 

Katanya, kira-kira 40 peratus daripada penyakit kanser ini dapat dicegah dengan pemeriksaan awal.

 

“Kita mestilah proaktif, pilih gaya hidup sihat kerana kanser tidak memilih siapa mangsanya… dan yang lebih penting kita sebagai ibu bapa seharusnya mengingatkan anak-anak agar menjalani gaya hidup sihat demi kehidupan dan masa depan mereka,” ujarnya lanjut.