Pulau Pinang guna teknologi baru, bangunkan industri pertanian negeri

Admin

MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula memperkenalkan penggunaan teknologi baru dalam pembangunan industri pertanian negeri sebagai inisiatif untuk memberikan pulangan yang lebih besar kepada petani.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata antara usaha dijalankan adalah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar benih terkemuka seperti Enza Zaden yang berpangkalan di Belanda.

Dr. Afif Bahardin menyantuni tetamu yang hadir.

“Kerjasama ini dijalinkan untuk melihat bagaimana kita (Pulau Pinang) dapat menghasilkan tanaman sayuran yang berkualiti untuk dipasarkan bukan hanya di peringkat dalam negeri tetapi juga ke luar negara.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melihat bagaimana perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dapat diaplikasikan terutamanya dalam aspek pemantauan dan juga untuk menyusun strategi pembangunan pertanian di negeri ini.

“Sehingga kini, kita (Kerajaan Negeri) telah mula mengaplikasikan teknologi terkini dalam beberapa sektor antaranya akuakultur dan kita juga sedang mengkaji bagaimana untuk diaplikasikan dalam sektor tanaman padi bagi memperkenalkan sistem perladangan yang lebih baik untuk para petani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bertemu Pelanggan dan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Pertanian Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Pulau Pinang Mohd. Muhaimin Ibrahim; Timbalan Pengarah Pertanian Pulau Pinang Shahbani Ismail; Pengarah Pertanian Perlis Sharilfuddin Saari serta ramai lagi.

Petani-petani yang layak menerima insentif Program Pembangunan Industri dan Pemprosesan Makanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Afif memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga turut menjalinkan kerjasama dengan institut pertanian Bogor di Indonesia dari segi maklumat serta kemahiran berkaitan penanaman padi dan pengurusan ladang.

“Justeru, kita akan buat percubaan di plot-plot tertentu yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pertanian (Negeri) untuk melihat bagaimana jenis-jenis padi atau cara amalan penanaman padi di Indonesia boleh diaplikasikan di Pulau Pinang.

“Hal ini kerana, di Pulau Pinang kita masih lagi menggunakan sistem penanaman serak yang mana kita mahu ubah kepada sistem semaian dan tanam lebih terkawal bagi mencapai hasil lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu juga, Afif turut menyampaikan insentif Program Pembangunan Industri dan Pemprosesan Makanan kepada petani-petani yang layak.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD