Angpau raya bukti asimilasi budaya sihat – TKM1

Oleh: ANNAS ZAINUL ABIDIN & ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAB BARU – Timbalan Ketua Menteri 1, Mohd Rashid Hasnon bekata, kepelbagaian kaum di Pulau Pinang kian harmoni sekiranya semua pihak semua pihak bersedia untuk menerima proses asimilasi budaya secara sihat.

Beliau berkata demikian semasa mengulas ibadah bersedekah sempena Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan mempunyai persamaan dengan tradisi memberi duit raya dalam sampul atau angpau kepada kanak-kanak dalam Tahun Baru Cina.

“Sedekah pada Rumah Terbuka Aidilfitri adalah ibadah terpuji. Pemberian angpau pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina adalah tradisi yang mulia.

“Sungguhpun ada perbezaan di antara dua perayaan itu, asimilasi budaya yang berlaku kerana kita bersedia menerima perbezaan itu secara sihat dan harmoni,” ujar Mohd. Rashid pada Rumah Terbuka Aidilfitri bersama-sama isteri, Nor Azizah Haron di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini barubaru ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff menjadi tetamu kehormat pada keraian tersebut. Hadir bersama, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) dan beberapa Exco kerajaan Negeri.

Selain itu, beliau turut mencadangkan amalan mengundang bukan Islam dan pelancong asing bersama-sama umat Islam ke rumah terbuka Aidilfitri di Pulau Pinang mampu menjadi produk pelancongan di negeri berkenaan.

“Pulau Pinang kini menjadi destinasi pelancongan pilihan di rantau ini kerana infrastruktur (perbandaran) kita bertaraf antarabangsa dengan bangunanbangunan warisan dunia yang cantik-cantik.

“Rumah terbuka (Aidilfitri) kita pun tidak mustahil boleh menjadi produk pelancongan sekiranya kita bersedia untuk mengundang pelancong asing untuk melihat kemajmukan budaya harmoni kita ini,” ujar beliau.

Walaupun cadangan itu bukanlah sesuatu yang baru, Mohd. Rashid berkata, komitmen pihak berwajib mampu merealisasikan hasrat tersebut demi kepentingan Kerajaan Negeri.

“Yang penting, rumah terbuka kita mempunyai identiti tersendiri yang tidak ada di tempat-tempat lain sungguhpun tidak diadakan secara besar-besaran, cukup ikut kemampuan kita masing-masing,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya kakitangan Kerajaan Negeri kerana banyak membantu beliau melengkapkan kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam tempoh hampir 100 hari pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sejak 5 Mei lepas.

“Kita semua satu pasukan. Makin kuat pasukan kita, makin kuat Pulau Pinang,” tegas beliau sebelum menyempurna majlis memberi angpau Aidilfitri kepada kanak-kanak.

Laksa Pulau Pinang, nasi biryani ayam, nasi impit antara juadah raya menarik rumah terbuka selama tiga jam bermula detik 11.00 pagi.