Anjur majlis khatan bukti amalan masyarakat Melayu tidak pernah terhakis di Pulau Pinang – ADUN

Admin

PULAU BETONG – Seramai 103 kanak-kanak menyertai Majlis Khatan Perdana anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Kampung Genting, dekat sini, semalam.

ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, program kebajikan tersebut dilaksanakan bagi meraikan kanak-kanak berkaitan sebelum mereka melalui proses berkhatan.

“Majlis Khatan Perdana ini adalah di bawah kebersamaan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Balik Pulau melibatkan tiga KADUN iaitu Pulau Betong, Teluk Bahang dan juga Bayan Lepas.

“Ini (majlis khatan) bukan semata-mata majlis yang kita laksanakan untuk masyarakat tetapi juga melibatkan pelbagai peringkat jabatan dan agensi kerajaan dengan bayaran sebanyak RM30 seorang,” ujarnya semasa merasmikan majlis berkenaan.

Turut serta, wakil Ahli Parlimen Balik Pulau, Shamsudin Abdul Rahman; Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba); pegawai-pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM); warga kerja Majlis Khatan Perdana 2018; barisan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) seluruh Parlimen Balik Pulau serta ibu bapa.

Difahamkan, semua kanak-kanak yang terlibat dibawa menaiki bas ‘Hop On Hop Off’ mengelilingi kawasan sekitar Balik Pulau sebelum berarak masuk ke dalam dewan dengan diiringi paluan kompang pada jam 9.00 pagi.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan selawat dan lagu-lagu nasyid oleh pelajar-pelajar dari Pusat Tahfiz Al-Quran Wal Hidayah, persembahan silat dan acara memotong pulut kuning.

Sementara itu, ADUN Pulau Betong, Zolkifly Md. Lazim berkata, penganjuran Majlis Khatan Perdana diadakan setiap tahun di Balik Pulau membuktikan bahawa amalan masyarakat Melayu seperti berkhatan ini, di Pulau Pinang tidak pernah terhakis.

“Sebagai umat Islam dan masyarakat Melayu sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sunatkan anak-anak kerana agama (Islam) telah menetapkan bahawa berkhatan adalah perkara yang wajib dilakukan.

“Berkhatan merupakan amalan baik yang diterima oleh hampir semua agama di dunia ini dan atas sebab itu kita mahu pastikan bahawa agama dan budaya Melayu ini akan terus disuburkan,” katanya lagi.

Paling mencuri tumpuan ramai apabila gelagat Mohd. Tuah dan Zolkifly turut dimandikan beramai-ramai di bawah pancuran air sebelum upacara berkhatan diadakan.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF