Insiden kerosakan palang Jalan Lembah Permai, pemandu kenderaan berat degil bakal berdepan tindakan saman

Admin

TANJONG BUNGAH – Kerajaan Negeri bertindak memasang palang besar yang lebih kukuh dekat Jalan Lembah Permai (Vale of Tempe), di sini bagi menghalang kenderaan berat melalui jalan tersebut.

Meskipun sebelum ini, palang telah didirikan namun kata Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan banjir, Zairil Khir Johari, masih terdapat kenderaan berat yang berdegil melalui jalan tersebut sehingga merosakkan palang halangan tersebut selain menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Pada tahun 2017 sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang berkaitan kerosakan palang tersebut dan pada tahun ini sebanyak dua laporan polis telah dibuat berkaitan insiden yang sama.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedua-dua arah mendapati kerosakan tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan berat,” katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Beberapa wakil daripada JKR Pulau Pinang serta wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lembah Permai, A. Shanthy turut menyertai sidang media berkenaan.

Justeru, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah menasihati pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan berat supaya mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Jalan ini hanya untuk dilalui oleh kenderaan ringan sahaja memandangkan keadaan jalan raya di sini yang sempit dan tidak sesuai untuk dilalui oleh kenderaan berat.

“Oleh itu, diharapkan pemandu kenderaan berat tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan Jalan Lembah Permai kerana dibimbangi mendatangkan risiko keselamatan nyawa kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai bagi Balai Polis Tanjong Tokong, Mohd. Azri Awang menegaskan bahawa mana-mana pemandu kenderaan berat yang melalui jalan berkenaan dan melanggar palang yang dipasang akan berdepan tindakan kompaun maksimum RM300 jika disabitkan kesalahan.

“Jika siasatan yang dijalankan pihak polis mendapati kesalahan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu kes akan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) – Kesalahan Mengawal Kenderaan dan Terlibat Dalam Kemalangan yang boleh dikenakan kompuan maksimum RM300 tanpa sebarang rayuan kecuali di mahkamah.

“Selain itu, kes juga boleh disiasat di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – Kesalahan kerana Mengabaikan Arahan dan Isyarat Lalulintas yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikompuan maksimum RM500 ke atas pemilik kenderaan,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : G. REVATIC