Anjur tonton wayang percuma sebagai sokongan kepada industri kreatif

Admin

PANTAI JEREJAK – Sebagai simbolik sokongan kepada industri kreatif dan sukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selama dua tahun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid menganjurkan program menonton wayang percuma yang dinamakan Seri Delima Gila Gusti.

 

Melalui program tersebut, Syerleena memperuntukkan lebih RM4,000 dalam menjayakan tontonan percuma tersebut di kalangan penduduk DUN Seri Delima.

 

“Objektif utama sudah semestinya menyokong produk lokal dan sebagai mana kita tahu, sepanjang tempoh pandemik industri kreatif antara yang menerima impak buruk, termasuk pengusaha pawagam dan atlet sukan.

 

“Jadi program seperti ini menunjukkan sokongan Seri Delima kepada penggiat industri kreatif, sukan sekaligus mengajak orang ramai ke panggung wayang semula,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara sebelum tontonan Gila Gusti yang berlangsung di Golden Screen Cinema (GSC) Queensbay Mall baru-baru ini.

Turut hadir ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, Pengarah Gila Gusti, Aron Koh serta barisan pelakon pelakon Gila Gusti iaitu, Ayez Shaukat Fonseka, Nor ‘Phoenix’ Diana dan Gotham.

 

Aron ketika ditemui berharap, Gila Gusti mampu menarik semula peminat tempatkan untuk ke pawagam sambil menonton kelainan yang disuntik beliau dalam filem tersebut iaitu menggunakan sukan gusti sebagai tema.

 

 

“Saya percaya sekarang kehadiran penonton sudah kembali meningkat 30 hingga 40 peratus dan sudah tentu akan mengambil sedikit masa untuk memulihkan situasi ini.

 

“Penggambaran berjaya disiapkan selama tiga minggu hasil persiapan tiga bulan dan post production selama enam bulan pada pada tahun 2020.

 

“Saya juga percaya tema gusti ini membawa satu kelainan dalam industri filem, tambahan pula peminat sukan ini cukup ramai di Malaysia sebenarnya” katanya.

 

Gila Gusti mengisahkan dua sahabat (Mamat dan Zul) yang minat kepada pertandingan gusti tempatan.

Mereka berdua meminati ahli gusti yang sama iaitu Naga (Shaukat Fonseka).

 

Naga telah dikhianati oleh majikannya hingga kalah dan nekad untuk bersara.

 

Walaubagaimanapun Mamat dan Zul yang fanatik kepada Naga mempunyai misi tersendiri untuk mengembalikan idola mereka dalam arena pertarungan dan membalas dendam.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR