BATU MAUNG – Kerajaan Negeri memuji inisiatif Persatuan Karyawan Pulau Pinang (Karyawan) atas penerbitan Antologi Puisi Bencana: Acheh Menangis Lagi yang menyuntik kesedaran mendalam mengenai impak bencana alam akibat kecuaian manusia dalam mengurus alam sekitar.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Wong Hon Wai berkata, karya tersebut bukan sekadar naskhah sastera, malah menjadi rekod sejarah serta peringatan terhadap tragedi banjir yang melanda Aceh pada November 2025.
“Buku ini membawa mesej penting bahawa bencana alam boleh berlaku atas pelbagai faktor, antaranya kecuaian serta ketamakan manusia sendiri.
“Keprihatinan para penulis terhadap tragedi banjir besar di Aceh wajar dipuji kerana apa yang berlaku di sana seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua untuk mengurus alam dengan lebih baik sebelum terlambat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis peluncuran antologi puisi tersebut yang diadakan bersempena Majlis Sambutan Aidilfitri 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berkata bahawa tragedi banjir pada 2025 telah mengakibatkan kerosakan harta benda yang besar, kehilangan nyawa serta trauma emosi mendalam kepada ribuan penduduk.
Dalam pada itu, beliau turut memetik sebahagian sajak bertajuk Acheh: Banjir Bandang 2025 yang menggambarkan ‘kemarahan’ alam melalui hujan luar biasa sehingga meruntuhkan jambatan serta menimbus desa akibat kemusnahan hutan penahan hujan.
“Menariknya, naskhah ini menggabungkan suara penulis dari Indonesia serta tokoh penyair tempatan seperti Sasterawan Datuk Lim Swee Tin.
“Saya berharap karya ini dapat menjadi rujukan penting kepada pelajar dan pengkaji dalam usaha menyemarakkan budaya mencintai ilmu,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan pembangunan budaya menerusi pelbagai pameran seni.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput mengunjungi Pameran Khas Silat Siku 12 yang berlangsung sehingga 17 Mei ini di premis Lembaga Muzium Pulau Pinang, No. 57, Jalan Macalister, George Town.
“Pameran ini merupakan platform terbaik untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat seni budaya silat sebagai warisan yang perlu dipelihara,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Karyawan Pulau Pinang, Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, majlis sambutan Aidilfitri bersama ahli persatuan dianjurkan setiap tahun sejak 23 tahun lalu, dan penganjuran kali ini lebih istimewa dengan kehadiran Hon Wai.
Beliau turut menjelaskan bahawa peluncuran antologi puisi tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir di Aceh.
“Tujuan penerbitan buku ini adalah untuk mengumpulkan dana.
“Memandangkan jarak yang jauh untuk ke sana, kami mengambil pendekatan menghasilkan puisi sebagai usaha membantu mangsa.
“Usaha kutipan dana bermula hari ini dan kami berharap dapat menyalurkan bantuan menjelang Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Hon Wai atas sokongan yang diberikan.
Antara yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) Negeri, Datuk Mohd. Jamil Othman; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Sharrul Rizal Hashim; Naib Presiden Karyawan, Datuk Ibrahim Mohamad; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Norlina Ahmad; serta Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad.
Berikut adalah bait puisi bertajuk Acheh: Banjir Bandang 2025 yang dideklamasi oleh Hon Wai;
Hujan luar biasa menggugurkan airnya
Bagai melepaskan marah kepada manusia rakus
Pokok-pokok penahan hujan telah hancur
Batang-batang kayu tersisa yang sembunyi
Menampakkan diri mereka lalu hanyut
Bersama lumpur dan batu ke sungai
Beban bertambah sungai ke sungai
Membongkar jalan – putus
Merempuh jambatan – runtuh
Menghentam rumah – hanyut
Mengancam manusia – mati
Desa-desa hilang – tertimbus
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB