Siku 12 akan diangkat sebagai warisan negeri

img 0236

GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berhasrat mengangkat beberapa budaya negeri ini untuk diwartakan sebagai warisan negeri.

 

Jelasnya, proses tersebut penting sebagai langkah awal untuk mengangkat kebudayaan berkenaan sebagai warisan kebangsaan, seterusnya ke peringkat UNESCO.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) berhasrat mengangkat beberapa budaya warisan tempatan, antaranya budaya nasi kandar, kopitiam, perarakan Thaipusam serta perarakan St. Anne di Bukit Mertajam.

 

“Saya juga bersama persatuan tempatan akan mencalonkan tiga lagi warisan Melayu di Pulau Pinang sebagai warisan negeri. Antaranya, tidak lain tidak bukan, Silat Siku 12. Selain itu, boria Pulau Pinang dan ghazal parti juga mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai warisan negeri,” ujarnya.

img 0238

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Silat Warisan Pulau Pinang: Siku 12 dan Pelancaran Laporan Tahunan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) 2022–2024 di Jalan Macalister, pada 12 April 2026.

img 0240

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Kurator LMNPP, Haryany Mohamad; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Fazilah Allaudin serta pewaris-pewaris Silat Siku 12.

img 0242 img 0244 img 0246

Dalam pada itu, Hon Wai turut mempelawa persatuan kebudayaan untuk mendokumentasikan warisan masing-masing sekiranya berhasrat mengangkatnya sebagai warisan negeri.

 

“Ini merupakan salah satu cara untuk kita terus memartabatkan warisan negeri Pulau Pinang yang mana semua pihak perlu memainkan peranan,” jelas ADUN Paya Terubong itu.

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan pameran tersebut memainkan peranan penting sebagai platform untuk memperkenalkan serta mendekatkan warisan kepada masyarakat.

 

“Melalui pendekatan penceritaan visual berkonsepkan komik pendekar, pengunjung dapat memahami sejarah, prinsip dan nilai yang membentuk seni silat ini dengan cara yang lebih menarik serta mudah dihayati,” katanya lagi.

 

Pada majlis tersebut, pengunjung turut disajikan dengan persembahan silat Siku 12 serta alunan muzik tradisional oleh kumpulan Dendang Anak Perak.

 

Haryany dalam pada itu memaklumkan bahawa sejak pameran dibuka pada 3 April hingga 11 April, LMNPP menerima kira-kira 2,000 pengunjung.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI