SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyasarkan penyertaan sebanyak 100 sekolah rendah dan menengah di daerah ini bagi merebut pengiktirafan menerusi Program Anugerah Sekolah Hijau 2026.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Badrul Amin Abdul Hamid berkata, sasaran tersebut selaras dengan pelaksanaan format baharu program yang kini memasuki sedekad penganjurannya.
Menurut beliau, edisi tahun ini tampil dengan pendekatan lebih komprehensif apabila diperkenalkan sistem penarafan bintang bagi mewujudkan ekosistem pendidikan hijau yang lebih menyeluruh, progresif dan berimpak tinggi.
“Pendekatan ini bukan sekadar pertandingan untuk merebut pengiktirafan semata-mata, sebaliknya kita mahu melihat pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkualiti menerusi sistem penarafan bintang yang diperkenalkan.
“Penilaian program turut memberi tumpuan kepada aspek penting termasuk kecekapan penggunaan sumber asli, pengurusan sisa, penjimatan tenaga elektrik, pemuliharaan air, inovasi, keusahawanan hijau, penghijauan kawasan sekolah serta penglibatan komuniti dan pendigitalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2026 Peringkat Seberang Perai di Auditorium MBSP di sini pada 22 Mei lalu.
Turut hadir Pengarah Sumber Manusia Aumovio Components Malaysia Sdn. Bhd. (Aumovio), Azlifah Abdul Aziz; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Fadzil Sadikin; serta Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP merangkap Pengarah Program Majlis Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2026 Peringkat Seberang Perai, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin.

Dalam ucapan sama, Badrul Amin turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, khususnya Aumovio dan Penang Green Council (PGC), atas komitmen berterusan dalam menyokong agenda kelestarian negeri.
“MBSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas tajaan penuh hadiah oleh pihak Aumovio berjumlah RM29,400.
“Ini membuktikan komitmen tinggi sektor korporat dalam menyokong agenda kelestarian, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan generasi hijau masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran global seperti perubahan iklim, peningkatan suhu dunia dan krisis pengurusan sisa memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
Sehubungan itu, katanya, pendidikan pada peringkat sekolah merupakan asas paling kukuh dalam membentuk perubahan tingkah laku masyarakat ke arah amalan yang lebih lestari.
“Kita bukan sahaja mahu melihat sekolah yang bersih dan hijau dari segi persekitarannya, malah yang lebih utama ialah melahirkan generasi yang ‘hijau’ pemikirannya, mempunyai kesedaran tinggi serta bertanggungjawab terhadap masa depan bumi,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Baderul Amin memaklumkan bahawa tempoh penilaian dan pemarkahan akan berlangsung mulai Jun hingga 31 Disember 2026, manakala penyampaian hadiah kepada pemenang dijadualkan pada tahun berikutnya.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa penganjuran Anugerah Sekolah Hijau 2026 adalah selaras dengan aspirasi Seberang Perai untuk menjadi bandar raya rendah karbon, pintar dan berdaya tahan demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD