Anwar mahu jumpa Ketua Menteri, bincang isu PSR dan nelayan

Admin

BAYAN LEPAS – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan hasrat untuk bertemu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi membincangkan isu projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR).

Katanya, pertemuan itu bertujuan mencari penyelesaian berkaitan masalah dihadapi nelayan tradisional yang terkesan oleh projek berkenaan.

“Saya akan bertanya kepada pihak Kerajaan Negeri adakah boleh kita jamin nasib dan kepentingan nelayan… jika boleh, kena pastikan ada jawapan munasabah.

“Saya tahu ini perkara sukar kerana berkait isu pembangunan, pengangkutan dan sebagainya, tetapi soal kehidupan nelayan babitkan Melayu, Cina dan India juga tidak boleh diketepikan,” ujarnya semasa mengadakan lawatan ke jeti nelayan dekat Sungai Batu, di sini pada 13 Julai lalu.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen-Mutiara), Nazri Ahmad.

Perjumpaan tersebut turut dihadiri oleh kira-kira 300 nelayan serta wakil persatuan-persatuan nelayan setempat.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, Anwar berkata bahawa ia bukan bermaksud beliau menghalang projek PSR sebaliknya untuk mendengar rintihan golongan nelayan termasuk Konsortium SRS, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

“Saya juga telah membaca memorandum yang diserahkan NGO dan persatuan nelayan di Parlimen baru-baru ini selain mendengar penerangan daripada pakar konsultan dan pihak-pihak berkepentingan lain.

“Walaupun laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) meluluskan projek ini dengan 72 syarat, tetapi masih ada beberapa aspek yang masih perlu dirunding,” jelas mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADUN