Aplikasi #SungaiPinangInOneClick mudahkan rakyat respons isu lokal

Admin
(Dari kiri) ONG Ah Teong, R.S.N. Rayer, Lim Siew Khim, Ketua Menteri dan dua pegawai Kerajaan Negeri lain semasa majlis pelancaran aplikasi SungaiPinangInOneClick, yang dianjurkan serentak dengan acara sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 di Taman Serina dekat KADUN Sungai Pinang menjelang tengah hari tadi.

SUNGAI PINANG – Inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang mewujudkan aplikasi pintar dan mudah alih dikenali #SungaiPinangInOneClick bakal memudahkan lagi komuniti lokal memberikan maklum balas berhubung isu-isu setempat.

Malah, pendekatan berkaitan juga adalah bagi membolehkan umum terutamanya komuniti Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang mendapatkan maklumat berkaitan dasar serta program bantuan yang dilaksanakan peringkat Kerajaan Negeri hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa melancarkan aplikasi tersebut pada Siri Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG Ke Parlimen Jelutong yang dilangsungkan di perkarangan kawasan perumahan Taman Serina dekat sini pada 30 Ogos 2022.

“Saya gembira dengan inisiatif yang diambil oleh Pejabat KADUN Sungai Pinang dalam menyahut cabaran dengan mengorak langkah memperkenalkan aplikasi mudah alih ini.

“Aplikasi #SungaiPinangInOneClick ini mempunyai pelbagai kegunaan yang mana selain daripada mengakses segala maklumat mengenai KADUN Sungai Pinang, orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk mendapatkan bantuan dari pusat khidmat KADUN Sungai Pinang.

“Pada kesempatan ini, sebagai wakil rakyat, marilah kita bantu rakyat sedaya upaya selepas mendapat mandat pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, Kon Yeow berharap aplikasi pintar tersebut dapat membantu ‘pasukan’ KADUN Sungai Pinang untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, khusus kepada para pengundi berdaftar bersempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang kian kunjung tiba.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang berucap sebelum itu memberitahu bahawa komuniti setempat boleh membuat tempahan dewan orang ramai, semakan daftar pemilih, daftar tuisyen dan kelas membuat kek, aduan termasuk berkaitan isu keganasan rumah tangga menerusi aplikasi pintar SungaiPinangInOneClick.

“Tujuan utama diwujudkan aplikasi tersebut adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara penduduk (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Sungai Pinang dan ‘pasukan’ saya di Pusat Khidmat (ADUN Sungai Pinang),” ujarnya sambil merakamkan penghargaan atas jerayawara Ketua Menteri ke sini.

Turut berucap, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer. Hadir sama, ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim; Ketua Penolong Pegawai Daerah Timur Laut, Nurshamshinaz Shamsudin; Penghulu Kanan Daerah, Amiruddin Kasim dan Pengerusi Tokong Thean Ling Dian, Tan Eng Leong.

Sebelum itu, jelajah Kon Yeow turut meluangkan masa melawat tapak projek naik taraf gelanggang serba guna dan projek Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) di perkarangan Blok 8 dan Blok 9 Kampung Rawa di sini.

Buletin Mutiara difahamkan, Pejabat Daerah & Tanah Timur Laut (PDTDTL) melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dalam projek tersebut dengan belanja sebanyak RM39,599.11 dan siap pada 18 Julai lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD